"Sepatutnya Satu Juta Rakyat Hadir...." - PAS Selangor


SUDAHLAH kurang mendapat sambutan, PAS Selangor turut menyindir perhimpunan rakyat menentang kerajaan BN anjuran Pakatan Harapan (PH) dan DAP di Padang Timur, Petaling Jaya malam Sabtu lalu.

Sepatutnya perhimpunan itu dihadiri sejuta orang kerana dibuat dalam negeri yang menjadi pusat kepada pakatan itu, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi.

Menurut Sallehin, perhimpunan itu bukan setakat membabitkan komponen parti dalam Pakatan Harapan, malah ia juga dibuat pada lokasi yang mudah diakses atau senang untuk sampai ke lokasinya.

"Sepatutnya, bagi saya, (apabila) ia diadakan di negeri yang jadi pusat kepada Pakatan Harapan, satu tempat yang ada akses begitu mudah, sama ada jalan raya dan maklumat...saya tidak tahu kenapa ia tidak dicapai," katanya.

Menurutnya lagi, PAS buat Fastaqim (Himpunan Fastaqim 2.0) di satu lokasi yang orang kata tempat  'jin bertendang'. 

"Tempatnya yang jauh dari Kuala Lumpur dengan akses jalan raya yang kecil, di ceruk, sangat tidak strategik, tetapi Alhamdulillah kita tidak perlu bayar ahli PAS, kita umumkan saja, yang menggerakkan adalah media sosial dan ahli sendiri, '' ujarnya.

"Itu adalah sambutan rakyat kepada PAS dan Pakatan Harapan. Kalau PAS hanya satu (bersendirian) dapat sambutan 200,000 orang,  semalam sepatutnya satu 1 juta, paling tidak 500,000 orang. Itulah gambaran awal sokongan rakyat," katanya pada sidang media selepas Majlis Minum Petang Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor semalam.

Yang turut hadir, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


Sallehen berkata, perhimpunan itu adalah untuk menyatakan kebencian terhadap Perdana Menteri, membabitkan rasuah tetapi diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad  yang umum ketahui ada rekod.

"Bagaimana untuk mencegah rasuah melalui orang yang pernah mengamalkan rasuah?" katanya.

Perhimpunan yang dihadiri Dr. Mahathir selaku Pengerusi PPBM dan PH, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Engitu hanya mencatakan kehadiran antara 5,000 hingga 8,000 sahaja oleh pihak polis dan pihak media.

Bagaimanapun pihak penganjur mengisytiharkan 25,000 yang hadir. Menurut laporan media, orang ramai mula bergerak pulang semasa Dr. Mahathir berucap. -Kedahnews.com