Serangan Mahfuz Tak Jadi Kudis Pada PAS, Kata Idris Ahmad


PAS menyifatkan beberapa kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang kini lebih menjuruskan ke arah menyerang PAS tidak akan  menjadi kudis kepada parti itu.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, sebaliknya PAS akan terus bergerak ke hadapan dalam membuat persiapan ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"PAS tidak pernah ambil kisah dengan setiap kenyataan yang dikeluarkan Datuk Mahfuz Omar kerana umum mengetahui akan pendiriannya seperti lalang," kata Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang seperti mana dipetik daripada portal BBNBC.

Mahfuz yang juga bekas Ketua Pemuda PAS dan bekas Pesuruhjaya PAS Kedah baru-baru ini mempelecehkan keadiran lebih 200,000 penyokong PAS pada ke Fastaqim 2.0 anjuran parti itu di Kuala Nerus, Terengganu.

Kata Mahfuz, walaupun ramai yang hadir pada himpunan itu, PAS tidak boleh menjadikannya ukuran PAS akan menang selesa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.

Bagi Idris dan juga pemimpin PAS yang lain melihat sambutan pada Fastaqim 2.0 tersebut sebagai petanda kebangkitan semula parti itu walaupun ia berpecah dua dan tidak lagi bekerjasama dengan pakatan pembangkang.

PAS kini diserang bertubi-tubi bukan sahaja oleh pemimpin Parti  Amanah Negara (PAN), DAP dan PKR tetapi juga Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mohamad.

Sementara itu Idris turut menyindir Mahfuz, "Kalau dia cakap ramai yang datang (pada himpunan Fastaqim 2.0)  belum tentu menang, maknanya yang sikit belum tentu kalah."

"Yang datang ke program Parti Amanah Negara, banyak yang tak dapat sokongan tu nak kira macam mana?” tanya Idris kepada Mahfuz yang kini condong menyokong Pakatan Harapan.

Malah semasa berada di Madinah selepas menunaikan haji, Mahfuz turut mendoakan kemenangan Pakatan Harapan yang diketuai DAP pada PRU akan datang. - Kedahnews.com