Sesuka Hati Buang Sisa Babi


SKUDAI – Sikap tidak bertanggungjawab beberapa pihak membuang sisa babi di tong pembuangan sampah di Batu 9 ½, Jalan Skudai berhampiran Kampung Laut, di sini mengundang rasa kurang senang peniaga dan penduduk berhampiran.

Jurujual kenderaan, Zamri Sadon, 46, berkata, masalah mula timbul sejak dua tahun lalu apabila sisa babi yang dibuang tidak letakkan dengan betul hingga berterabur di atas jalan akibat digigit anjing liar.

Katanya, peniaga dan penduduk di situ terpaksa mengambil inisiatif membersihkan sisa yang berterabur di atas jalan bagi mengelakkan kawasan itu terus kotor dan busuk.

“Sisa berkenaan dibuang terlalu banyak hingga melimpah keluar dari tong dan berulat-ulat berbau busuk.

“Ada yang meletakkan sisa mereka di tepi tong sahaja kerana sudah penuh dan sampah itu digigit anjing hingga berterabur di atas jalan dan ada yang dibawa masuk oleh anjing hingga ke dalam kedai-kedai di sini,” katanya.

Zamri berkata, hampir setiap hari terdapat pihak yang datang membuang sisa berkenaan di situ dan menimbulkan ketidakselesaan masyarakat di situ yang tidak tahan dengan masalah bau busuk dan kotor.

“Ada sebuah van kerap datang membawa beberapa plastik dipenuhi sisa babi berkenaan dan dibuang ke dalam tong itu. Ada juga yang datang menaiki motosikal, kebiasaannya mereka datang pada sebelah lewat petang,” katanya.

Sementara itu, Jefri Abdul Latif, 48, berkata, sebelum ini tong berkenaan diletakkan di bahagian dalam untuk kegunaan penduduk setempat tetapi sejak ia diletakkan di tepi jalan berkenaan menyebabkan pihak luar mengambil kesempatan membuang sisa mereka di stu.

“Saya harap tong ini dipindahkan ke lokasi lebih sesuai supaya tiada pihak mengambil kesempatan membuang sisa babi di sini.

“Keadaan menjadi terlalu kotor dan berbau busuk terutamanya apabila tong ini dipenuhi sampah dan sisa babi berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, mekanik, Yeo Siak Sian, 52, turut menyuarakan ketidakselesaannya terhadap masalah yang berlaku dan berharap langkah segera dapat diambil.

Sumber: Sinar Harian