Siasat Tawaran Rumah Kos Rendah


GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang digesa memberi penjelasan kepada rakyat negeri ini kerana menawarkan rumah kos rendah dan mampu milik kepada mereka yang tidak berkelayakan serta mempunyai gaji tinggi.

Pengerusi Penang Front Party (PFP), Datuk Patrick Ooi berkata, perkara itu tidak wajar berlaku kerana masih ramai rakyat di negeri ini yang amat memerlukan rumah dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

“Kita minta pihak kerajaan negeri jelaskan kepada rakyat apa yang sudah berlaku. Ini semua satu penipuan ke atas pemilihan rumah mampu milik dan kos rendah.

“Ramai orang tak ada rumah, tapi mereka yang tidak layak pula diberikan rumah. Kita minta satu siasatan dibuat sepenuhnya dengan bukti-bukti yang kita sertakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang mengenai penyalahgunaan kuasa yang kemungkinan berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, terdapat sekurangnya 10 kes melibatkan penawaran rumah mampu milik dan kos rendah kepada mereka yang tidak berkelayakan serta mempunyai pendapatan melebihi RM5,000 sebulan.

“Kes pertama adalah seorang pegawai perubatan. Beliau menolak tawaran rumah itu sebab sudah beli sebuah rumah harganya hampir RM500,000, tapi dia ditawarkan juga sebuah rumah pada harga RM200,000 oleh kerajaan negeri.

“Orang kedua adalah bergaji RM5,000 sebulan dan beliau ditawarkan rumah berharga RM42,000. Kes ketiga pasangan suami isteri yang bergaji hampir RM8,000 sebulan, tetapi dapat sebuah rumah berharga RM300,000,” katanya.

Jelasnya, lebih membimbangkan apabila seorang pegawai Ketua Menteri Pulau Pinang juga didakwa terlibat dalam perkara itu apabila turut ditawarkan rumah berharga RM300,000.

“Seperti apa yang kita tahu, mereka yang bergaji RM2,500 ke bawah hanya boleh dapat rumah murah berharga RM72,000. Tapi dalam situasi ini sekurang-kurangnya 10 kes melibatkan tawaran rumah kepada mereka yang tidak layak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan Pemantauan Isu-isu Perumahan PFP, Eagan Teoh berkata, kes yang berlaku amat membimbangkan kerana walaupun pemohon telah menolak tawaran tersebut, tetapi tawaran sama tetap diberikan lagi.

“Macam mana kes ini boleh berlaku? Ini jelas ada kelemahan dalam sistem pemilihan pemohon dalam rumah kos rendah dan mampu milik.

“Kita minta Exco berkaitan supaya beri penjelasan kepada rakyat supaya hak-hak rakyat di negeri ini dapat dipertahankan dan adil untuk semua,” katanya.

Sumber:Sinar Online