Siti Aisyah, Thi Huong Diberi Latihan Bunuh Jong-Nam


SHAH ALAM - Wanita warga Indonesia, Siti Aisyah dan warga Viet­nam, Doan Thi Huong telah diberi latihan ‘me­ngenakan seseorang’ atau prank sambil diselia oleh empat lelaki sebagai persedia­an untuk membunuh lelaki Korea Utara, Kim Jong-nam.

Penggunaan cecair kimia ‘Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methyl­phonothiolate’ atau Agen Saraf VX yang disapu pada muka dan mata mangsa pula memberikan peluang tipis untuk lelaki yang menggunakan pasport antarabangsa atas nama Kim Chol dise­lamatkan.

Kenyataan tersebut merupakan sebahagian daripada ucapan pembukaan yang dibacakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad dalam perbicaraan kes bunuh Jong-nam, 45, di Mahkamah Tinggi di sini yang bermula hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau menyatakan, melalui keterangan langsung, mengikut keadaan dan pakar, pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Siti Aisyah, 25, dan Thi Huong, 28, mempunyai niat bersama dengan empat lelaki yang masih bebas itu untuk membunuh mangsa.

“Keterangan akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan bahawa semasa mangsa berada di Balai Berlepas, Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Orang Kena Tuduh (OKT) 1 dan OKT 2 telah menghampiri mang­sa dan menyapu cecair beracun yang dikenali sebagai bahan kimia ‘Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate’ atau Agen Saraf VX.

“Keterangan juga menunjukkan selepas menyapu sesuatu pada muka dan mata mang­sa, mangsa telah pergi ke Kaunter Khidmat Pe­langgan untuk membuat aduan sebelum dibawa ke klinik yang terdekat di terminal terbabit,” kata Muhamad Iskandar.

Mangsa yang merupakan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, bagaimanapun me­ninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya dan mayat lelaki tersebut kemudian telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)

Menurut beliau lagi, pakar patologi mengesahkan kematian Jong-nam adalah disebabkan ke­racunan akut (agen saraf) VX.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon agar pertuduhan dibacakan semula terhadap kedua-dua tertuduh untuk direkodkan pengakuan mereka oleh Hakim Datuk Azmi Ariffin.

Tertuduh pertama, Siti Aisyah dan tertuduh kedua, Thi Huong masing-masing mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas membunuh Jong-nam di Balai Berlepas, KLIA2, Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sumber: Utusan Online