Siti Kongsi Pengalaman Hamil Anak Pertama


KUALA LUMPUR - Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 38, berkongsi pengalaman sepanjang proses awal kehamilan cahaya mata pertama di laman Instagram miliknya semalam.

Menerusi perkongsian di laman sosial berkenaan, Siti Nurhaliza mengalami alahan kulit, hilang selera makan, sakit pinggang dan mudah berasa keletihan selain memberitahu kandunganya hampir berusia lima bulan.

Penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu turut berasa kagum terhadap ibunya, Siti Salmah Bachik yang telah melahirkan dan membesarkan lapan orang anak termasuk dirinya.

"Alhamdullillah, pengalaman mengandung adalah sesuatu yang sangat indah dan mencabar bagi Siti. Siti alami alahan kulit, tidak selera makan, sakit pinggang, penat, panas badan dan lain-lain.

"Betapa besarnya pengorbanan mak Siti dulu. Tapi Siti kagum bila mak alami semua cabaran ini namun masih mampu melahirkan kami lapan beradik. Sekarang usia kandungan Siti hampir lima bulan," tulisnya di Instagram.

Dalam masa sama, Siti turut berterima kasih kepada suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 58, kerana bersabar melayan karenahnya sepanjang tempoh awal kehamilan.

Siti turut meminta pandangan daripada peminat di Instagram mengenai cara mengatasi alahan sepanjang kehamilan selain saling berkongsi pengalaman agar dapat dijadikan panduan buatnya.

Sumber: Kosmo