Sogokan RM5 Juta: Anina Suruh Syed Saddiq Bertindak Bukan Sekadar Bercakap


ALOR SETAR - Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang digugurkan,  Anina Saadudin mahu Ketua Armada parti itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertindak daripada banyak bercakap tentang sogokan RM5 juta yang dikatakan ditawarkan kepadanya.

Anina yang meninggalkan PPBM kerana merasakan dirinya dijadikan 'kaldai' parti, juga turut menepis dakwaan Syed Saddiq yang menyatakan bekas pemimpin yang meninggalkan parti itu ada menerima tawaran wang.

"Saya bersetuju dengan saranan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyarankan supaya Syed Saddiq melaporkan kepada SPRM dengan segera tentang segala dakwaan beliau. 

Berikanlah segala bukti yang ada kepada SPRM untuk disiasat, " katanya yang juga salah seorang pengasas PPBM menerusi facebook beliau  semalam.

,Menurut Anina,  Syed Saddiq agak ketinggalan dalam menyuarakan isu 'dedak' ini.

" Tiga  bulan yang lalu saya telah membuat laporan kepada SPRM dan PDRM mengenai ada dakwaan terhadap saya menerima sogokan RM7 juta, " kata Anina.

Beliau mengingatkan Syed Saddiq supaya bercakap beralaskan fakta dan bukan didorong emosi semata-mata.

“Jangan kerana saya keluar parti dan tidak setuju dengan parti dan tak kira sesiapa yang keluar parti maka mereka dilabel sebagai pemakan dedak,” katanya seperti mana yang dilapor MalaysiaGazette.

 Kelmarin, Syed Saddiq pada satu sidang media mendakwa ada “tangan ghaib” cuba merasuah beliau sebanyak RM5 juta untuk keluar parti dan tawaran sama turut ditawarkan kepada pemimpin lain yang sudah meninggalkan parti itu.

Selain Anina, bekas Naib Presiden PPBM Datuk Hamidah Osman juga menepis dakwaan  menerima tawaran wang itu.


Hamidah pantas  membuat laporan kepada SPRM di Ipoh semalam bagi membersihkan diri daripada dikaitkan dengan 'sogokan sistemmatik' seperti yang didakwa Syed Saddiq.

Anina dan Hamidah meninggalkan PPBM pada 16 September lalu kerana tidak berpuas hati dengan budaya atau amalan dalam parti berkenaan.

Sebelum itu, seorang lagi pengasas bersama PPBM, Kamarulazman Habibul Rahman meninggalkan parti itu pada April lalu dan mendakwa pemimpin parti terbabit mengamalkan kronisme.

Pengerusi  PPBM, Tun Dr. Mahathir  bagaiamanapun  menyifatkan mereka yang tinggal parti itu sebagai 'sampah'.- Kedahnews.com