Sokong Had Umur Untuk Liga FAM


CADANGAN mengehadkan penyertaan Liga FAM hanya kepada pemain yang berusia 35 tahun ke bawah dilihat sebagai langkah terbaik dalam usaha mengetengahkan lagi bakat baharu dalam kancah bola sepak tempatan.

Pemain senior yang pernah beraksi di skuad remaja SV Wehen, Juzaili Samion mengakui Liga FAM seharusnya menjadi batu loncatan kepada pemain muda untuk menonjolkan bakat masing-masing dan mencipta nama bagi mencari peluang menyertai pasukan Liga Perdana dan Liga Super.

“Secara peribadinya, saya melihat cadangan ini bagus kerana ia dapat memberi peluang kepada banyak bakat muda untuk mendapat pengalaman beraksi secara kerap dalam perlawanan yang lebih kompetitif sekali gus mematangkan lagi kualiti permainan mereka.

“Malah, Liga FAM adalah pentas terbaik khususnya buat pemain muda yang tidak dikenali supaya dapat menyerlah dan membuka jalan untuk memikat pasukan Liga Perdana atau pun Liga Super bagi mendapatkan khidmat mereka,” katanya ketika ditemui selepas sidang media pra perlawanan akhir Piala FAM 2017 di Stadium MBPJ, semalam.

Pada masa sama, Juzaili yang juga kapten Sime Darby FC itu juga yakin cadangan yang akan diperhalusi itu sedikit sebanyak mampu membantu mengeluarkan produk baharu yang lebih segar bagi membarisi skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed menegaskan sudah tiba masanya khidmat pemain yang berusia 35 tahun ke atas tidak lagi dibenarkan beraksi di saingan Liga FAM pada musim depan.

Ujarnya, tindakan itu bagi menjamin ‘kesegaran’ daya saingan divisyen tiga itu dengan membuka pintu seluas-luasnya buat pemain daripada Piala Presiden dan Belia menyertai pertandingan ketiga paling tertinggi dalam sistem bola sepak negara itu.

“Liga FAM perlu disasarkan untuk mencungkil pemain baharu dan muda, jadi inilah slot yang wajar disediakan untuk pemain yang lebih muda,” katanya.

Sumber: MyMetro