Tabung Haji Anjur STEM Kelab Taha Di Alor Setar


ALOR SETAR  – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) membawa ahli Kelab Tabung Haji (Kelab Taha) menerokai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam usaha mempersiapkan generasi muda untuk mendepani cabaran Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).

Menurut Pengurus Kanan Bahagian Khid­mat Pelanggan TH, Noor Azmima Ismail, penganjuran program terbabit adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menarik minat generasi muda menyertai bidang STEM.

Menurut Noor Azmima, pihaknya menyasarkan penyertaan 400 peserta dalam penganjuran program STEM Kelab Taha di empat lokasi iaitu Kedah, Selangor, Melaka dan Terengganu.

“Program STEM Kelab Taha ini adalah pertama kali dianjurkan Tabung Haji dalam usaha memupuk pelajar tingkatan satu hingga tiga yang merupakan ahli Kelab Taha untuk meminati bidang sains seterusnya memilih jurusan tersebut selepas menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) kelak,” ujarnya.

Berikut adalah ucapan beliau selepas Majlis Perasmian Penutup Program STEM Kelab Taha Pe­ringkat Negeri Kedah kendalian Berkat Minda Resources dengan usaha sama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Utusan Malaysia sebagai rakan media di sini semalam.

Turut hadir sama, Timbalan Pengarah TH negeri, Muhamad Zaki Baijuri, Pensyarah Kanan UKM, Dr. Mohamad Sattar Rasul dan Pengarah Urusan Berkat Minda Resources, Mahmod Mat Ali.

Kata Noor Azmima, lokasi kedua program tersebut adalah di Selangor pada 28 Oktober ini diikuti Melaka (6 November) dan Terengganu (11 November).

“Setiap lokasi, kita memberi peluang kepada 100 ahli Kelab Taha untuk menyertai program tersebut. Bagi yang berminat, mereka boleh melayari laman web Tabung Haji untuk maklumat lanjut,” katanya.

Selain itu, menurut Mohamad Satar berkata, program sehari itu mempunyai tiga fasa iaitu pendedahan STEM, pembinaan ilmu berkaitan konsep Bandar Pintar atau Smart City serta pembangunan projek secara berkumpulan. - Kedahnews.com