Tak Ada Foto Tapi Ini Kisah Benar…


TEPAT pukul 7.20 malam (Rabu 11 Oktober), saya melalui simpang empat menuju Jalan Raja Laut dari belakang Maju Junction. Jalan sesak seperti biasa, dan anggota trafik mengawal lalu lintas.

Ketika saya sampai di simpang empat, anggota trafik menahan laluan. Jadi saya berhenti. Kini giliran kenderaan dari arah Maju Junction mengambil laluan. Tetapi, anggota trafik menahan pergerakkan kenderaan.

Jadi semua hala terpaksa berhenti. Kenapa?

Ya Allah! Anggota trafik memberi laluan kepada seekor anjing dari arah bangunan Sime Darby melintas jalan. Anggota trafik mengekori anjing tersebut hingga selamat melintas.

Saya tidak sempat merakamkan foto.  Ia terlalu pantas, dan ketika itu juga, saya terpegun kerana kagum melihat momen itu. Ia seekor anjing jalanan warna kelabu.

Tidak cantik langsung. Tetapi anggota trafik menyusur anjing itu hingga selamat melintas sebelum melambai tangan mengarahkan kenderaan meneruskan laluan.

Ia sepuluh saat yang sangat menyentuh perasaan. Nasib seekor anjing berbulu pendek tetapi baka yang agak tinggi, yang telah selamat menyeberang jalan.

Apa yang mengharukan ialah tindakan anggota trafik mengiringinya hingga selamat melintas.

Akibat terharu, saya menulis kisah ini. Ketika banyak perkara teruk dilaporkan minggu ini yang memburukkan imej polis. Ya! Ia perlakuan anggota polis yang tidak relevan.

Namun, kita tidak boleh mengabaikan kebaikan hati anggota polis yang berdedikasi. Saya terharu melihatnya ketika bersendirian dalam kereta. Sekiranya bersama anak-anak, pasti saya akan lebih berbangga.

Saya akan berkata: “Lihat! Betapa mulianya anggota trafik ini. Dia lambang kekayaan jiwa manusia dalam seragam hitam putih yang mempesonakan!”

Moga Allah SWT merahmati anggota trafik ini. 

Sumber – MYNEWSHUB.CC