ALOR SETAR - Bagi memperbesarkan penanaman kenaf di negeri Kedah, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menyatakan niat untuk mensasarkan 10,000 hektar dan nilai jualan melebihi 10 juta setahun menjelang 2020.
Pengerusinya, Datuk Mohd Adhan Kechik menjelaskan penanaman kenaf pada ketika ini masih tidak mnedapat sambutan di kalangan pekebun kecil dan hanya berskala kecil sahaja.
"Sekarang ini, kita hanya mampu tanam antara 2,000 hingga 2,500 hektar setahun dan dari hasil jualan eksport hanya melebihi RM1 juta sahaja.
"Bagi saya jumlah ini masih kecil sebab kita turut gunakan untuk produk tempatan seperti pembuatan tilam dan kraftangan,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran Pusat Khidmat 1Komoditi (1CSC) di Pejabat LKTN di Jitra, semalam.
Majlis tersbeut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC), Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.
Mohd Adhan turut menjelaskan kenaf sebenarnya mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran dunia kerana sifatnya yang semula jadi sesuai dengan penggunaan teknologi hijau pada masa kini.
"Sebab itu, lembaga dan kementerian menggalakkan penanaman kenaf kerana setakat ini, keluasan terbesar kenaf hanya terdapat di Kelantan dan Pahang dengan masing-masing seluas 800 hektar,"katanya. - Kedahnews.com