Tangani Islamofobia Secara Bijak - Titah Raja Muda Perlis


DHAKA - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu umat Islam menjunjung prinsip kesederhanaan dalam menangani isu Islamofobia.

Titah baginda, Islam mementingkan aspek kesederhanaan yang menjadi teras dalam kehidupan umatnya.

"Islamofobia mesti ditangani dengan lebih berkesan melalui sikap wasatiah yang menjunjung prinsip kesederhanaan," titah baginda di hadapan kira-kira 150 masyarakat Malaysia di Bangladesh, di sini pada Isnin malam.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian pada program Liqa Mawaddah anjuran MAIPs di Kurmitolla Golf Club di sini.
  
Titah baginda MAIPs sedang mengambil pendekatan mengajak umat Islam di luar negara sentiasa bersikap sederhana melalui program Liqa Mawaddah bersama masyarakat Malaysia di luar negara.

Antara pengisian program ialah tazkirah khas oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertajuk 'Wasatiah: Bagaimana Islam mendisiplinkn penganutnya dengan peraturan".

Bersempena program itu Tuanku Syed Faizuddin turut menyampaikan sumbangan MAIPs untuk Tabung Ibnu Sabil berjumlah RM5,000 kepada pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh melalui Setiausaha Pertama, Idham Zuhri Mohd Yunus.

Tabung itu bertujuan membantu rakyat Malaysia yang menghadapi kecemasan termasuk kes terkandas di Bangladesh.

Selain di Bangladesh, program sedemikian juga pernah dianjurkan oleh MAIPs di London, Riyadh, Jeddah, Kuwait, Muscat, Doha dan Dubai.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Azmi Abdul Hamid dan Pengerusi Daffodil International University Bangladesh, Sabur Khan.

Raja Muda Perlis berada di Bangladesh selama empat hari sejak Ahad bagi mengetuai misi kemanusiaan membabitkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan berkaitan pelarian termasuk meninjau kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar.- BERNAMA