Tiada Bonus Buat JDT Jika Menang Piala Malaysia


JOHOR BAHRU  - Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak akan memberikan bonus sekiranya pasukan itu muncul juara Piala Malaysia.

Kelab itu dalam entri terbahAru di Facebook Johor Soutern Tigers memberitahu, ini kerana bonus sudah diberikan kepada para pemain apabila mereka memenangi Liga Super.

“Kami tidak akan memberi bonus jikalau JDT menjuarai Piala Malaysia tahun ini kerana kami telah mencapai sasaran kami iaitu menjuarai Piala Liga Super.

“Lagipun kami telah memberikan bonus yang besar sebelum ini kepada para pemain kami apabila mereka telah memenangi Liga Super,” demikian menurut kelab itu dalam kenyataan terbaharunya.

Menurut kelab itu, keutamaan mereka pada setiap tahun adalah Liga dan Piala FA untuk beraksi dalam AFC sekali gus menjadi matlamat utama dan polisi Kelab JDT.

Selain itu, tambah kelab itu, ia adalah keperluan buat kelab untuk penaja-penaja besar di mana mereka mahu mempromosikan nama mereka bukan sahaja dalam negara tetapi juga luar negara.

“Apa pun matlamat kami pada tahun ini telah tercapai iaitu untuk menjadi juara liga dan ia adalah sasaran kami untuk setiap tahun,” ujar kelab itu lagi.

Sumber: Utusan Online