Tiada Kejutan Pada Himpunan Fastaqim PAS, Khalid Ibrahim Kekal Bebas


BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan akan kekal bebas dan tidak berhasrat untuk menyertai PAS atau mana-mana parti lain.

Sehubungan itu kemunculan Khalid di pentas Himpunan Fastaqim 2.0 anjuran PAS di Kuala Nerus, Terengganu  malam tadi tiada sebarang kejutan kerana tiada penyerahan borang keahlian PAS atau pengumuman dibuat.

Sebelum ini ada dakwaan pemimpin parti pusat akan menyetai PAS pada himpunan itu.

Khalid yang disingkirkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menurunkan beliau dari kerusi Menteri Besar Selangor diberi   penghormatan untuk duduk sebaris dengan kepimpinan Gagasan Sejahtera (GS), termasuk diberi peluang berucap.

Pada  ucapan ringkasnya, Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan ADUN Pelabuhan Klang memberitahu akan kekal sebagai wakil rakyat bebas dan belum berhasrat untuk menyertai mana-mana parti.

Bagaimanapun katanya, beliau akan memberi sokongan dan membantu PAS dalam konteks menangani masalah kemiskinan rakyat.

“Saya belum masuk PAS.  Saya diberi peluang berucap di pentas Fastaqim ini atas dasar saya rakan PAS.

“Saya kekal sebagai wakil rakyat bebas. Saya bebas berjuang dan bersuara. Tumpuan saya ialah isu kemiskinan, ekonomi dan pendidikan. Saya mahu selesaikan masalah ini,” katanya yang disambut laungan Allahu Akhbar oleh kira-kira 200,000 hadirin. - Kedahnews.com