Tiada Pampasan Bagi Mangsa Kren Tumbang


JEDDAH - Mahkamah memutuskan bahawa kesemua mangsa tragedi kren tumbang di Masjidilharam, Mekah yang berlaku pada tahun 2015 tidak akan dibayar wang pampasan (blood money).

Keputusan bakal menyaksikan mangsa yang maut dan cedera dalam tragedi itu tidak akan menerima pampasan kerana insiden berke­naan berlaku disebabkan fak­­tor semula jadi dan bukannya ke­cuaian manusia.

Mahkamah turut membebaskan seramai 13 orang pekerja Binladin Group yang bertanggungjawab me­ngendalikan kren gergasi berke­naan, tetapi keputusan itu telah dibantah oleh Peguam Negara yang akan mengemukakan rayuan.

Dalam kejadian pada 11 September 2015, kren yang digunakan untuk projek peluasan Masjidilharam tumbang dan menyebabkan 180 orang jemaah haji maut manakala 238 cedera.

Insiden itu turut meragut nyawa tujuh jemaah haji rakyat Malaysia dan 11 lagi cedera.

Pemimpin Arab Saudi, Raja Sal­­­man Abdulaziz Al-Saud yang melawat tapak kejadian sebelum ini me­ngarahkan supaya kesemua mangsa yang terlibat dibayar pampasan.

Arahan Raja Salman dikatakan tiada kena mengena dengan bayaran pampasan yang seharusnya ditentukan oleh mahkamah.

Raja Salman mengarahkan se­tiap keluarga mangsa yang ter­korban dibayar wang pampasan se­­banyak satu juta riyal (RM1.1 ju­ta) manakala mangsa cedera menerima sebanyak 500,000 riyal (RM564,488).

Sebelum ini, terdapat laporan kemudiannya mengatakan bayaran pampasan berkenaan bergantung kepada keputusan mahkamah.

Saudi Gazette melaporkan, ha­kim membuat keputusan selepas meneliti semua aspek termasuk teknikal, kejuruteraan, mekanikal dan pelbagai laporan berkaitan tragedi tersebut.

“Kren berkenaan berada dalam kedudukan yang sepatutnya dan selamat. Tiada sebarang kecuaian atau tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan.

“Pihak berkuasa sedia maklum mengenai fungsi kren dan pihak mahkamah tidak mempunyai bukti bahawa Binladen Group melakukan kecuaian,” jelas mahkamah. 

Sumber: Utusan Online