‘Tidak Boleh Jamin Sifar Doping’


KUALA LUMPUR - Pelbagai usaha dan insia­tif telah diambil sehingga ke satu tahap semua atlet yang menyertai Sukan SEA Ke-29 (KL2017) telah diberi surat peringatan terakhir seminggu sebelum temasya bermula bulan lalu untuk mengingatkan mereka agar tidak mengambil sebarang ubat atau suplemen yang bukan dipreskripsi oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Malangnya segala usaha keras tersebut masih tidak mampu membendung atlet negara daripada bertindak di luar jangkaan, dan akibatnya seorang penerjun wanita yang memenangi pingat emas Ogos lalu disahkan gagal ujian doping.


Pengarah Unit Agensi Antido­ping Malaysia (Adamas), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz berkata, pihaknya boleh memberikan komitmen terhadap tolenransi sifar, tetapi untuk mencapai sifar insiden adalah sesuatu yang di luar kawalan pihaknya.

“Apa lagi yang kita tak buat dan usahakan, segala-galanya telah kita beri. Masalah ini melibatkan pendidikan, maksud saya bukan atlet itu tak belajar tinggi, tetapi sejauh mana mereka benar-benar menerima ilmu yang kita beri.

“Untuk memastikan kegagalan doping tidak berlaku, kami mengambil langkah dengan memberi surat peringatan ter­akhir kepada semua atlet seminggu sebelum Sukan SEA bermula, yang mana mereka perlu menurunkan tandatangan dan memulangkan kembali surat berkenaan.

“Salah satu kandungan surat itu ialah mengingatkan atlet agar tidak mengambil sebarang ubat atau suplemen selain yang telah dipreskripsi atau dibekalkan oleh ISN. Susahkah untuk memahami isi surat itu lebih-lebih lagi atlet yang berpengalaman?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Dr. Ramlan, pihaknya sentiasa komited kepada toleransi sifar dengan harapan insiden sifar doping dapat sama-sama dijayakan, namun usaha tersebut perlu bermula dari peringkat sekolah rendah.

Jelas beliau, sebab itu pihak­nya sedang berusaha untuk mendidik atlet-atlet muda di peringkat tersebut kerana jika mereka melepasi usia dewasa, segalanya sudah terlambat.

“Program pendidikan asas antidoping tidak pernah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah, namun usaha itu akan dimulakan dalam masa terdekat dengan penglibatan aktif Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan sebagai rakan antidoping Adamas.

“Ramai di luar sana yang tunjuk pandai dan hebat mengenai isu doping dengan menyalahkan kami agensi kerajaan. Namun, tiada siapa yang tahu susah payah kami memberikan kefahaman kepada atlet, persatuan sukan, jurulatih dan juga pegawai sukan.

“Sokongan kuat diperlukan daripada jurulatih, pengurus pasukan dan pemegang jawatan persatuan sukan. Mereka perlu bertindak sebagai rakan kongsi aktif dan bekerjasama dengan Adamas, ISN serta Majlis Sukan Negara,” tegasnya

Sumber: Utusan Online