Tiga Rumah Musnah Terbakar Di Sungai Petani


SUNGAI PETANI -Tiga rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 2 di sini, malam tadi, namun semua penghuni rumah terbabit berjaya menyelamatkan diri.

Timbalan Penguasa Bomba, Mohd Ridzuan Nut Jamudi, berkata pihaknya tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian selepas menerima panggilan awam jam 11.49 malam.

Beliau berkata, seramai 14 pegawai termasuk anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dibantu 40 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari PBS Bakar Arang, PBS Bedong, PBS Padang Lembu, PBS Sungai Petani dan PBS Semeling berusaha memadam kebakaran.

"Kebakaran membabitkan tiga rumah kelas C dengan dua daripada rumah berkenaan berpenghuni, manakala sebuah lagi tidak mempunyai penghuni.

"Satu aliran bersama dua pancutan air di hadapan dan kanan bangunan serta dua pancutan air di belakang dan kiri bangunan digunakan bagi tindakan mengawal serta memadam kebakaran hingga padam sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mohd Ridzuan berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian.

Sumber: BH Online