ALOR SETAR - Keterujaan penyokong dua gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah untuk menonton final Piala Malaysia, Sabtu ini boleh dilihat apabila 10,500 tiket yang dijual secara atas talian habis terjual tidak sampai dua jam selepas jualan dibuka, semalam.
Melihat kepada sambutan yang sudah dijangka itu, boleh dapat dibayangkan suasana yang bakal berlaku apabila jualan tiket di kaunter Stadium Darul Aman (Kedah) dan Stadium Tan Sri Hassan Yunus (Johor) dibuka serentak pada Rabu, pukul 9 pagi.
Mahupun begitu, kedua-dua pasukan mempunyai mekanisme tersendiri dalam memastikan proses penjualan baki 61,500 tiket berjalan lancar.
Situasi terkawal yang berlaku ketika separuh akhir dijangka diteruskan untuk aksi final.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Tickethotline International Sdn. Bhd., Datuk Zairil Ayu Ibrahim, pihaknya tidak berdepan masalah sepanjang proses penjualan tiket atas talian dilakukan selepas mengagihkannya mengikut kuota yang ditetapkan.
“Peruntukan yang diberikan untuk tiket atas talian sebanyak 10,500 dengan pecahan 4,000 untuk setiap peminat JDT dan Kedah, manakala 2,000 bagi penyokong neutral.
“Bagi tiket kanak-kanak kami tidak membuat sebarang pecahan kerana ia akan menyukarkan proses pembelian, jadi siapa cepat dia dapat.
“Bagi penyokong JDT dan Kedah, pembeli tiket perlu memasukkan nombor kad pengenalan.
“Daripada situ kami dapat mengenal pasti sama ada penyokong itu berasal dari dua negeri tersebut atau sebaliknya.
“Setiap tiket yang dibeli secara atas talian boleh menebusnya di Stadium Shah Alam bermula Rabu ini pada pukul 10 pagi hingga 6 petang dan penebusan boleh dilakukan hingga hari final,” katanya yang dipetik dari Utusan Online.
Tambah Zairil lagi, dalam usaha mengelak berlaku penipuan dan membendung gejala ulat tiket, pihaknya telah menetapkan setiap penyokong hanya boleh membeli empat tiket yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan terbaharu.
“Setiap tahun kami akan mengeluarkan ciri-ciri keselamatan berbeza dan sekiranya ada berlaku penipuan kami akan dapat mengatasinya. Pihak kami akan memberi taklimat kepada polis dan pihak yang menjaga pintu masuk tentang ciri-ciri keselamatan tiket final tersebut.
“Mereka yang cuba menipu dengan meniru tiket final ini tidak akan dapat mencetak sama 100 peratus. Pasti akan ada kekurangan daripada segi kualiti dan ciri-ciri keselamatan dan daripada situ ia dapat dikesan,” ujarnya.
Malah, pertembungan JDT dan Kedah diibaratkan sebagai ‘buku bertemu ruas’.
Jika JDT turun dengan status juara Liga Super empat kali berturut-turut, Kedah pula merupakan penyandang juara Piala Malaysia, malah skuad Lang Merah melayakkan diri ke pentas akhir buat musim ketiga berturut-turut.
JDT bakal diperkuatkan oleh penjaring terbanyak Liga Super musim ini, Mohammed Ghaddar (23 gol), selain bintang tempatan seperti Safiq Rahim.
Bagi Kedah yang merupakan juara lima kali pula akan mempertaruhkan penyerang dari Denmark, Ken Ilso Larsen yang meledak 15 gol dalam liga musim ini, selain bintang tengah kebangsaan, Baddrol Bakhtiar. - Kedahnews.com