Tindakan Konvoi Bikers Malaysia Halang Lalu Lintas Di Thailand Dikecam


KUALA LUMPUR - Sebuah video viral yang memaparkan tindakan konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Malaysia yang menyekat pergerakan lalu lintas di persimpangan jalan yang sibuk di selatan Thailand baru-baru ini mengundang kecaman netizen.

Video berdurasi dua minit itu menunjukkan empat penunggang motosikal berkuasa tinggi bertindak seperti 'marsyal’ yang menahan kenderaan dari laluan kiri dan kanan di persimpangan lampu isyarat bagi memberi ruang kepada konvoi motosikal besar kumpulan berkenaan berlalu terlebih dahulu.

Insiden yang dilapor berlaku pada 22 September lalu itu mengundang reaksi tidak puas hati kalangan rakyat di negara itu.

Mereka menyifatkan tindakan bikers itu sebagai ‘angkuh’ kerana tidak menghormati undang-undang jalan raya di negara lain.

Sementara itu, Kelab Chopper Garage Kelantan (CGK) semalam membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabenor Narathiwat dan seluruh rakyat Thailand di atas kecuaian dalam mengawal pergerakan konvoi motosikal berkuasa tinggi di wilayah tersebut.

Memetik laporan portal Bernama, presidennya Diami Yusoff berkata surat permohonan maaf itu sudah dihantar kepada pemangku Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Jantarat Ngamchana di Pejabat Konsul Jeneral, Royal Thai Consulate kira-kira 10 pagi semalam.

"Kejadian itu berlaku di persimpangan lampu isyarat jalan raya di Wilayah Narathiwat, Selatan Thailand ketika kami dalam pergerakan konvoi sempena Program Mahabbah Keenam pada 22 Sept lepas," katanya.

Sumber: Astro Awani