Tingkatkan Sistem Ramalan, Amaran Banjir - JPS


KOTA BHARU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan akan meningkatkan sistem ramalan dan amaran banjir di negeri ini sebagai persediaan menghadapi monsun Pantai Timur yang dijangka bermula bulan depan hingga akhir Januari ini.

Pengarahnya, Kamal Mustapha, berkata pihaknya menerima peruntukkan RM20 juta bagi meningkatkan sistem terbabit supaya ramalan banjir dapat dibuat tiga hingga tujuh hari lebih awal.

Beliau berkata, daripada peruntukkan itu, pihaknya akan membina tambahan 20 stesen bacaan hujan dan 21 stesen siren pada tahun ini di seluruh Kelantan terutama kawasan pedalaman seperti Gua Musang.

"Buat masa ini, kita sudah mempunyai 25 stesen bacaan hujan dan 28 stesen siren bagi memberi ramalan dan amaran awal kepada penduduk jika berlakunya bencana banjir besar.

"Sememangnya bilangan stesen ini sudah mencukupi, namun kita mahu meningkatkan lagi kecekapan bagi melakukan ramalan pada musim tengkujuh khususnya lokasi yang berisiko berlaku banjir besar.

"Mengikut kajian, kita sudah mengenalpasti 225 kawasan di seluruh Kelantan mempunyai risiko tinggi berlaku banjir setiap kali musim tengkujuh," katanya ketika menyampaikan taklimat kepada media, di sini.

Mengulas lanjut, Kamal berkata, sememangnya monsun Pantai Timur berlaku bermula November, namun disebabkan ribut tropika, hujan akan dilanjutkan sehingga Januari.

"Selain daripada sistem itu, kita juga sudah mengemaskini laman www.publicinfobanjir.gov.my untuk kegunaan orang ramai bagi memantau paras sungai dan bacaan hujan.

"Melihat kawasan yang sering dinaiki air setiap kali musim tengkujuh, kita menasihati kepada orang ramai supaya melakukan persediaan serta peka dengan ramalan dan amaran yang dilakukan JPS nanti.

"Kita juga akan membuat taklimat dengan penduduk di Kompleks Darul Naim bagi memberi penerangan dan pemahaman cara untuk membaca data JPS di laman web terbabit," katanya.

Sumber: BHOnline