LUMUT - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan dua anggotanya yang meninggal dunia ketika menjalani latihan di Bilik Tahanan Unit (BTU), Stesen Komunikasi TLDM Sungai Wangi, Sitiawan petang kelmarin itu berada dalam keadaan sihat sebelum dibawa masuk ke stesen tersebut.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) TLDM untuk memastikan setiap angotanya melakukan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan individu itu benar-benar sihat sebelum dimasukkan ke pusat tahanan itu.
"Kita tidak pernah berkompromi dan tidak akan melindungi sesiapa pun jika didapati bersalah. Pusat tahanan itu akan tetap beroperasi seperti biasa, namun lembaga siasatan yang ditubuhkan akan memfokuskan kepada SOP sama ada ia masih relevan dan komprehensif serta dipatuhi oleh anggota bertugas.
"Lembaga siasatan ini juga tidak akan campur tangan urusan berkaitan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Lembaga ini terdiri daripada lima orang yang diketuai oleh seorang berpangkat Kapten yang juga merupakan pegawai kanan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 51 veteran Pasukan Khas Laut (Paskal) sempena sambutan ulang tahun ke-35 Paskal di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
Polis sebelum ini mengesahkan punca kematian melibatkan Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatuiman Mohd. Sukri, 26, adalah disebabkan oleh pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul.
Sumber: Kosmo