TPM Bawa Laporan Kelemahan Kawalan Sempadan Ke MKN Selasa Depan


BAGAN DATUK - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membawa laporan wawancara sebuah akhbar berbahasa Melayu semalam mengenai kelemahan kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Selasa depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata hasil wawancara bersama Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Datuk Yaacob Md Sam itu perlu diberi kepedulian dengan lebih serius supaya masalah berkenaan tidak berlanjutan.

"Terdapat kawasan sempadan di negara ini yang memerlukan (peralatan canggih) seperti dron, penggunaan radar dan kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengawasi sempadan daripada diceroboh.

Saya ingin memberikan respons yang positif terhadap wawancara itu kerana bagi saya, perkara itu telah saya bangkitkan beberapa kali dalam msyuarat terutamanya apabila isu keselamatan di sempadan dibangkitkan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Deepavali 2017 kepada lebih 800 penerima bagi kawasan Parlimen Bagan Datuk di sini semalam.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ketika ini hanya 35 peratus kawasan sempadan mempunyai tembok dan pagar berduri.

"Saya bersetuju dengan pengerusi suruhanjaya berkenaan bahawa penyeludup-penyeludup tidak hanya melalui ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) tetapi tentunya melalui pagar-pagar berduri yang tidak diselenggara dengan baik yang menyebabkan mereka senang masuk ke sempadan," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana kawasan sempadan negara seperti di Kelantan terletak di bawah tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain ia turut dikawal oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).

Sehubungan itu, beliau berkata penyelarasan perlu dilakukan bukan hanya secara berkala, tetapi kerjasama secara pengendalian setiap masa seperti yang dilaksanakan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah.

"Jadi, adalah tidak mustahil kalau saya dapat bersama-sama mengkoordinasikan dengan Menteri Besar Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis kerana masalah sempadan ini dikongsi bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri melalui agensi persekutuan yang dikoordinasikan oleh saya sendiri," katanya.- BERNAMA