Tragedi Berdarah Karak: Treler Hilang Kawalan, Penunggang Motosikal Maut Tersepit Bawah Bas


PENUNGGANG motosikal maut tersepit di bawah bas ekspres sejurus sebuah sebuah treler dari arah bertentangan hilang kawalan dan terbalik di kilometer 27 Lebuhraya Karak 12.40 tengah malam tadi.

Difahamkan kemalangan treler membawa muatan cecair kimia mudah terbakar itu menyebabkan pemandu bas cuba mengelak sebelum terbabas lalu merempuh penunggang motosikal itu.

Bagaimanapun kesemua 29 penumpang serta dua pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.42 tengah malam.

Sebaik tiba, bomba mendapati seorang penunggang motosikal tersepit di bawah bas manakala pemandu treler yang cedera sudah dihantar ke Hospital Selayang oleh orang ramai.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Selayang,” katanya.

Mohd Sani berkata, semua mangsa bernasib baik kerana treler yang membawa muatan kimia Butyl Acetate tidak mengalami kebocoran dan terbakar.

Sumber: MyMetro