KUALA LUMPUR - Pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Noor berharap dapat mengatasi trauma yang menghantui dirinya untuk membantu skuad Harimau Malaya melakar kemenangan ke atas Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019, 10 Oktober ini.
Prestasi terkini pemain berusia 26 tahun itu jelas memperlihatkan peningkatan apabila membantu FELDA United mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan melonjak ke tangga ketiga Liga Super.
Namun di sebalik perkembangan positif itu, Wan Zack mengakui terpaksa bergelut untuk bangkit daripada kecederaan teruk dialami empat tahun lalu.
"Alhamdulillah, tak dinafikan ini hasil kerja keras saya untuk kembali pulih. Sebenarnya saya masih rasa trauma pada bulan Oktober, kerana pengalaman ini kita tak pernah lupa sebab ini kecederaan paling teruk dalam karier saya," katanya kepada Arena Metro.
Pada Oktober 2013, Wan Zack terpaksa menjalani pembedahan ACL (Anterior Cruciate Ligament) akibat kecederaan teruk lutut kanannya sehingga menyebabkan terpaksa berehat panjang dan tidak dapat meneruskan kontraknya bersama kelab Jepun, FC Ryukyu.
Selepas itu, bekas Pemain Paling Bernilai Pestabola Merdeka 2013, Pemain Muda Terbaik Kebangsaan 2011 dan Liga Singapura 2012 itu bergelut untuk kembali berada di tahap terbaiknya sehinggalah namanya kembali menjadi sebutan apabila menyertai FELDA United tahun ini.
Wan Zack turut bersama skuad kebangsaan kendalian Nelo Vingada ke Hong Kong dan dia mengakui sedia untuk memberikan aksi terbaik selepas hanya masuk sebagai pemain gantian lima minit sebelum perlawanan tamat ketika seri 1-1 menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka 5 September lalu.
"Saya perlu mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama kerana persaingan bukan mudah. Saya percaya kita boleh menang dengan Hong Kong kalau kita bermain mati-matian. Tak kisah siapa yang akan diturunkan kerana siapa yang dipilih berikan yang terbaik untuk kemenangan pasukan," katanya.
Malaysia perlu menang ke atas Hong Kong pada perlawanan ketiga Kumpulan B selepas tewas 1-2 kepada Lubnan dan seri 1-1 dengan Hong Kong untuk menduduki tangga tercorot.
Sumber: BH Online