Tuduh Bugis Keturunan 'Lanun', Mahathir Boleh Ditahan Polis Jika Bercakap Di Indonesia


SELEPAS Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla tersinggung dengan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menghina etnik keturunan Bugis sebagai lanun, seorang lagi pemimpin tokoh perniagaan terkenal di Sulawesi Selatan turut menergur bekas Perdana Menteri itu. 

Konsul Kehormat Malaysia di Makassar, Indonesia, Halim Kalla yang juga adik Jusuf berkata Dr. Mahathir boleh ditahan polis jika beliau berkata demikian di Indonesia. 

"Pertuturan Dr. Mahathir itu seumpama mengisytiharkan pe­rang untuk memecahbelahkan bangsa" katanya kepada sebuah akhbar tempatan negara ini.

Menurut Halim, Dr. Mahathir tidak seharusnya mengheret masyarakat Bugis dengan menghina keturunan etnik itu walaupun berselisih faham de­ngan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dr. Mahathir tidak perlu menyentuh soal asal usul kerana kita semua, baik pemimpin di Indonesia atau di Malaysia terdiri daripada pelbagai keturunan tetapi tetap saling hormat menghormati, baik sebagai warga Malaysia atau Indonesia.

“Kenyataan Dr. Mahathir itu tidak sepatutnya diucapkan ke­rana orang Bugis walau di mana sahaja, sama ada di Indonesia atau Malaysia semuanya baik.

“Malah di Indonesia banyak pemimpin peringkat nasional daripada keturunan Bugis yang sangat dihormati seperti Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dan bekas Presiden Indonesia, B.J. Habibie serta pemimpin lain yang bersikap jujur serta tegas,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia semalam.

Mengulas lanjut Halim berkata, di Indonesia ucapan berunsur kebencian kepada mana-mana agama atau keturunan diharam untuk dituturkan di depan orang ramai apatah lagi jika ia diucapkan oleh seorang bekas pemimpin negara seperti Dr. Mahathir.

Sehubungan itu katanya, Dr. Mahathir sewajarnya memohon maaf secara terbuka kerana menyinggung perasaan orang Bugis secara keseluruhan walaupun beliau menegaskan kenyataannya itu hanya ditujukan kepada Najib.

Ketika berucap dalam perhimpunan haram Pakatan Harapan diketuai DAP di Padang Timur, Petaling Jaya dekat sini pada minggu lalu, Dr. Mahathir menyebut Najib mungkin berasal daripada lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.

Ekoran kenyataannya itu, pelbagai pihak termasuk yang mewakili masyarakat etnik tersebut mendesak Dr. Mahathir supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kata-katanya namun Pengerusi Pakatan Harapan itu enggan berbuat demikian.

“Orang Bugis semua tersinggung kerana di panggil lanun. Kami di zaman dahulu berperang untuk melawan penjajah sehingga di Perancis dan perkara ini mempunyai bukti sejarahnya.

“Orang Bugis sangat menghormati budayanya dan tidak akan melakukan perbuatan yang melukakan masyarakat lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Halim memberitahu, dalam masa terdekat pemuda Bugis akan mengadakan demonstrasi secara aman di Indonesia untuk membantah kenyataan Dr. Mahathir itu.

Ketika berucap dalam ceramah PPBM di Arau, Perlis sabtu lalu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPBM bagaimanapun membuat 'pusingan U' bahawa beliau tidak berniat untuk menghina orang Bugis tetapi ia ditujukan kepada Perdana Menteri.

Bagaimanapun beliau menyifatkan orang Bugis di Malaysia sebagai 'bodoh' kerana datang ke pejabatnya di Yayaysan Kepimpinan Perdana untuk tunjuk perasaan di hari cuti umum Deepavali.

" Saya tidak ada di pejabat, tetapi oleh kerana mereka telah 'dibayar' dan bas sudah pun disewa oleh Najib, mereka terpaksa datang juga berdemo pada hari itu, " dakwa Dr. Mahathir.

Bagaimanapun semasa berucap di majlis ceramah Pakatan Harapan di Alor Setar pada hari Jumaat  Dr. Mahathir berkata tidak semua orang keturunan baik belaka, termasuk Perdana Menteri yang juga keturunan Bugis, " kata Dr. Mahathir.

Presiden PAN, Mohamad Sabu semaasa berucap di majlis yang sama tidak berani menyentuh tentang dakwaan Dr. Mahathir yang menyatakan Bugis keturunan lanun.

Tentang orang Bugis tu... saya serah kepada bos (Tun Dr. Mahathir) untuk bercakap mengenainya, " kata Mat Sabu. 

Pemimpin Pakatan Harapan sedar resiko jika mereka menyokong kenyataan Dr. Mahathir itu,  pengundi keturunan Bugis yang ramai di negara ini tidak akan menyokong pakatan pembangkang  pada PRU14.

Malah sebelum ini pun, pemimpin masyarakat Bugis meminta orang keturunan Bugis tidak mengundi parti pimpinan Dr. Mahathir itu. - Kedahnews.com