Ukurlah Baju Di Badan Sendiri Sebelum Berbelanja


SAMBIL menikmati secawan kopi dan sepotong kek pada harga RM30 di sebuah kafe di Bandar Baru Bangi baru-baru ini penulis terfikir sejenak.

Sekiranya nilai RM30 itu dibawa ke pasar malam, tempat penulis membeli barang-barang basah pada setiap petang Isnin boleh dapat sekilo ikan kembung dan dua hingga tiga jenis sayur, cukup untuk makan tengahari kami sekeluarga.

Bukan saya hendak berkira tetapi memikirkan perbelanjaan yang berhemah amat perlu diamalkan untuk memastikan kedudukan kewangan dapat dijaga.

Semuanya terpulang kepada diri sendiri kerana kita yang tahu kemampuan kewangan dan setakat mana kita boleh berbelanja tanpa berhutang keliling pinggang!

Bagaimanapun gaya hidup dan budaya berbelanja rakyat Malaysia terutama golongan belia boleh dikatakan masih sama, tidak banyak berubah.

Dalam kitaran hidup manusia, komitmen kewangan mereka yang berumur antara 20 hinga 40 tahun adalah peringkat yang sangat mencabar.

Ketika usia ini kebanyakan mereka baru memasuki alam pekerjaan dengan gaji yang masih lagi kecil berbanding mereka yang sudah berpengalaman.

Dengan pendapatan yang hanya cukup-cukup makan itu, sebahagiannya banyak digunakan untuk membayar pinjaman kenderaan. Belum lagi pinjaman peribadi yang dibuat semata-mata untuk majlis perkahwinan yang diidam-idamkan dan yang paling besar sekali adalah pinjaman perumahan.

Dengan harga rumah yang semakin tinggi, sudah pastinya beban hutang juga semakin meningkat. Dengan anggaran peningkatan harga rumah sekurang-kurangnya 10 peratus setiap tahun tidak mustahil rumah mampu milik yang ada hari ini akan menjadi rumah mampu tengok dan mungkin akan datang menjadi rumah mampu dengar sahaja!

Semuanya ini memerlukan komitmen kewangan dan perancangan yang rapi bagi mengelakkan daripada masalah perangkap hutang yang kritikal.

Mesti ada yang risau melihat gaya berbelanja mewah golongan belia terutama yang terlalu taksub dengan perkembangan semasa sehingga sanggup berhutang bagi mendapatkan sesuatu yang bukan pun keperluan.

Kegagalan mengukur baju pada badan sediri menyebabkan mereka berbelanja melebihi daripada kemampuan hingga terjerat dengan beban hutang sehingga ramai yang diisytiharkan muflis pada usia muda.

Menurut Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri, Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, statistik 23,484 belia berumur 25 hingga 34 tahun yang muflis pada 2010 hingga 2015 dijangka terus meningkat melihat kepada perkembangan semasa.

Sementara itu, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyatakan antara punca utama golongan muda tersenarai muflis ialah pinjaman kenderaan yang tidak mampu dibayar selain keghairahan menggunakan kad kredit, berbelanja mewah dan berhutang untuk majlis perkahwinan.

“Melihat pada keadaan anak muda hari ini, kebanyakan mereka bukan sahaja tidak menguruskan perbelanjaan dengan betul tetapi sangat lemah dan kurang pengetahuan tentang pengurusan kewangan,” katanya dalam wacana Cabaran Kewangan Belia Masa Kini di UPM baru-baru ini.

Kebanyakan mereka sanggup berhutang untuk membeli kenderaan dan barangan peribadi.

“Bayangkan baru diterima bekerja sebagai pegawai di sebuah jabatan kerajaan sudah berani membeli kereta Honda City yang harganya jauh lebih mahal daripada kereta jenama tempatan semata-mata ingin mengikut trend dan status,” katanya.

Beliau turut mendedahkan masalah kewangan yang sering berlaku di kalangan masyarakat Malaysia.

Ia termasuk sikap suka melewatkan membayar bil iaitu 88.9 peratus, berbelanja melebihi pendapatan 69.8 peratus, tidak mampu membeli insurans takaful 66 peratus, tidak ada wang tunai untuk kecemasan , 61 peratus, tidak tahu wang dibelanjakan, 56.6 peratus, berhutang sebelum mendapat gaji, 52 peratus, meminjam untuk membeli barang keperluan, 49 peratus dan meminjam dengan ceti atau Ah long 22.3 peratus.

Apa yang lebih membimbangkan, hasil dapatan kaji selidik yang dilakukan pada tahun 2016 ke atas 586 responden menunjukkan 73 peratus mengakui mereka mengalami kemurungan disebabkan masalah kewangan, katanya.

Pengurusan kewangan yang buruk menjadi punca ramai individu gagal membayar hutang hingga ada yang diisytiharkan muflis. Mereka tidak tahu matlamat kewangan yang sepatutnya digunakan daripada pendapatan yang diterima setiap bulan.

Beliau menegaskan antara perkara yang paling utama dilakukan selepas memasuki alam pekerjaan adalah mengambil polisi insurans dan takaful.

Ramai belia hari ini lebih pentingkan membeli kereta berbanding membeli insurans nyawa, selain insurans perubatan, katanya.

Kesedaran yang masih rendah ini menyebabkan 14 juta rakyat Malaysia masih tidak mempunyai polisi insurans nyawa.

Ramai yang memandang mudah isu ini kerana mereka fikir tidak akan sakit sewaktu muda sedangkan ada pepatah “sediakan payung belum hujan” itu lebih baik daripada “sudah terhantuk baru terngadah”.

Selain itu melunaskan hutang pendidikan juga wajib dilakukan sebelum menggunakan wang pendapatan untuk tujuan lain.

“Selesaikan dahulu semua hutang yang utama sebelum membuat hutang baru dan cuba disiplinkan diri untuk membuat simpanan secara paksa melalui pemotongan gaji setiap bulan,” katanya.

Selain itu belia juga jangan terlalu ghairah untuk membeli rumah hanya semata-mata bimbang dengan harga rumah yang semakin meningkat setiap tahun.

Tidak salah untuk menyewa rumah terlebih dahulu sehingga betul-betul mampu untuk memberi komitmen yang besar bagi pembayaran pinjaman perumahan, katanya. – BERNAMA