UMNO Bantu Rakyat Di Alor Setar, 3,000 Terima Sumbangan


ALOR SETAR - Program Jelajah UMNO Bantu Rakyat anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) hari ini singgah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu untuk memberi bantuan kepada lebih 3,000 penerima di sini.

Bantuan itu berupa sumbangan bagi membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada 500 murid, bantuan barangan keperluan harian kepada ibu tunggal, anak yatim dan pesakit terlantar, klinik motosikal percuma serta baik pulih pendawaian elektrik rumah bagi penduduk yang terpilih.

Pelancaran program berkenaan itu disempurnakan oleh Menteri Besar yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, program itu bertujuan membantu masyarakat akar umbi yang menjadi amalan UMNO sejak sekian lama dan secara berterusan.

“Hasrat kita program ini memberi manfaat besar kepada rakyat dan terus kepada golongan sasaran iaitu masyarakat akar umbi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program tersebut di pekarangan Pejabat Penghulu Mukim Tajar di sini hari ini.

Sumber: Utusan Online