Universiti Di Malaysia Beri Kejutan Terbaik Hari Ini


HARI ini kita menyaksikan bahawa QS Universiti Ranking telah menarafkan lima universiti Malaysia de­ngan kedudukan di antara 50 uni­versiti terbaik di Asia. Inilah pencapaian terbaik yang pernah diperoleh negara berbanding tahun-tahun lepas.

Universiti-universiti berke­na­­­an ialah Universiti Malaya pa­­da kedudukan 24, Universiti Put­ra Malaysia (36), Universiti Ke­bangsaan Malaysia (43), Universiti Sains Malaysia (46), Universiti Teknologi Malaysia (49). Sementara itu, sebanyak 22 lagi universiti di Malaysia telah pun mencapai penarafan 300 universiti terbaik di Asia manakala Universiti Teknologi Petronas berjaya menduduki kedudukan 101.

Di negara ASEAN pula, lima da­ripada lapan universiti di ASEAN menduduki tangga 10 universiti terbaik Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Universiti-universiti penyelidikan di Malaysia pula berada dalam tahap satu peratus terbaik di dunia yang mengandungi sebanyak 26,000 universiti kesemuanya. Mengikut penarafan kumpulan Universiti U21 pula, sistem pendidikan tinggi negara semakin mendadak naik sejak enam tahun dahulu iaitu daripada kedudukan 36 pada 2012 kepada kedudukan 27 pada tahun ini (http://www.uni­versitas21.com).

Thomson Reuters juga telah mewartakan bahawa Malaysia mempunyai 14 ahli akademik yang tergolong dalam satu peratus penyelidik di dunia yang se­ring penerbitan mereka dirujuk.

Pada 2015 sahaja, tiga daripada penyelidik Malaysia telah diiktiraf dunia sebagai World’s Most Influential Scientific Minds (Profesor Datuk Ir. Dr. Wa Ramli Wan Daud, Profesor Dr. Siti Kartom Kamarudin, Profesor Dr. Bassim H.Hameed).

Petanda tersebut memberi ke­yakinan dalam masa terdekat Malaysia akan menjadi satu pusat atau hab pendidikan cemerlang seperti yang telah dirancangkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kesemua staf universiti yang berada dalam negara ini terutamanya kepada pemimpin-pemimpin universiti dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang sentiasa berusaha keras untuk menaikkan taraf pendidikan pengajian tinggi negara ini.

Rakyat Malaysia hendaklah berasa bangga dengan pencapaian cemerlang ini. Dahulu, sewaktu taraf universiti tidak setinggi ini, kedengaran ramai memperlekehkan universiti-universiti kita. Tetapi sekarang sewaktu taraf universiti sudah naik sebegini baik, tidaklah pula ada yang mengucapkan tahniah atau memberi perangsang kepada universiti-universiti negara ini.

Barangkali manusia lebih suka mengkritik daripada memberi penghargaan. Kalau beginilah sikap kita, maka akan menjadi rumitlah untuk pihak-pihak yang berkewajipan menjalankan tugas.

Mungkin pembaca tidak tahu kriteria-kriteria yang digunakan oleh QS University Ranking. Di bawah saya turunkan kriteria ini:

Pertama, kriteria digunakan ia­lah sitasi (citation) ke atas penerbitan-penerbitan yang dihasilkan oleh pensyarah-pensyarah universiti. Ini bergantung kepada ke­mampuan dan kewibawaan ka­kitangan universiti untuk menjalankan penyelidikan dan penerbitan bermutu tinggi.

Saya kira banyak daripada si­ta­si pada tahun ini adalah hasil daripada kerja profesor-profesor kanan yang pada waktu ini sudah ramai tidak berkhidmat di universiti lagi disebabkan oleh usia dan juga kekangan ekonomi semasa untuk menanggung kos perkhidmatan mereka.

Penyelidikan dan penerbitan ju­ga berkait rapat dengan kebe­ra­daan dana untuk tujuan itu. Ben Sowter, Ketua Penyelidik QS menyatakan bahawa banyak universiti di United Kingdom telah me­rudum kedudukan kerana tidak mempunyai dana mencukupi.

Sehubungan itu, sukacita saya mendengar bahawa Menteri Pendidikan Tinggi akan mempertimbangkan cadangan pemberian insentif kepada universiti sebagai galakan untuk mengembangkan pe­nyelidikan.

Kriteria kedua, reputasi kakitangan akademik (Peer Review) manakala kriteria ketiga, kepercayaan majikan kepada universiti (Recruiters’s Review) adalah sama pentingnya dengan kriteria pertama iaitu mengenai reputasi kakitangan akademik sesebuah universiti. Sekiranya kakitangan akademik berwibawa dan disegani sudah meninggalkan perkhidmatan universiti, maka markah bagi kriteria-kriteria ini akan menurun.

Pengambilan kakitangan dan juga pelajar dari luar negara adalah dua kriteria lain digunakan dengan setiap satunya membawa markah sebanyak lima peratus. Kriteria ini sentiasa diawasi pihak berwajib dalam usaha mendapatkan markah banyak, tidak akan menjejaskan kemasukan warganegara sendiri.

Kriteria nisbah pensyarah kepada pelajar pula tidaklah rumit untuk dilaksanakan supaya mencapai tahap diingini. Kejayaan itu tentunya telah dicapai kerana Kementerian Pendidikan Tinggi mempunyai perancangan terpe­rinci yang sudah diamalkan sejak beberapa tahun lalu.

Kementerian Pendidikan Tinggi sedang giat merealisasikan pe­nghasilan mahasiswa seimbang melalui pemberian pembelajaran holistik dan kemahiran keusahawanan melalui program iCGPA, 2u+ 2i dan penghasilan mahasiswa yang mampu mencipta pekerjaan (Job Creators, not Job Seekers).

Melalui iCGPA mahasiswa di­te­rapkan beberapa kemahiran yang berhubung kait seperti pengajaran ilmu, pengajaran kemahiran berpraktikal, kemahiran sosial dan kebertangunggjawaban, etika dan nilai hidup, ilmu komunikasi, penyelesaian masalah, pengurusan informasi dan keusahawanan.

Melalui sistem ini, ketrampilan mahasiswa dapat dilihat dengan nyata, umpamanya beberapa orang mahasiswa telah menjadi johan dalam pertandingan bahas universiti dunia mengalahkan universiti-universiti terkemuka seperti Universiti Cambridge.

Dalam perancangan 2u+2i pu­la, beberapa universiti telah me­mulakan kursus yang mana sebahagian daripada pengajian mereka dijalankan melalui pekerjaan dengan badan-badan industri dan perusahaan.

Cara ini memanglah baik ke­rana mahasiswa didedahkan de­ngan dunia pekerjaan sebenar sewaktu mereka masih di universiti lagi. Apabila bergraduat, mereka lebih memahami dunia pekerjaan yang bakal diceburi. Sesetengah universiti juga telah melantik beberapa pegawai eksekutif daripada industri sebagai Profesor Ajung untuk membantu mahasiswa dalam hal ini.

Dengan kejayaan dicapai serta usaha murni berterusan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi, saya yakin sektor pengajian tinggi di negara ini sedang berada pa­da tahap tinggi dan akan terus ­menempa lebih banyak kejayaan pada masa depan.

PROFESOR EMERITUS DATUK DR. HASHIM YAACOB ialah bekas Naib
Canselor Universiti Malaya (UM).