Usah Abai Tanda Murung Pada Anak-Anak


Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar tidak harus lagi dipandang ringan apabila statistik menunjuk pertambahan nisbah satu daripada lima pelajar menghidap masalah tersebut pada 2016 berbanding satu daripada 10 orang pada 2011

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 juga mendedahkan 15.7 peratus pelajar mengalami masalah emosi seperti kemurungan dan kebimbangan.

Dengan peratusan tersebut, pakar-pakar menyatakan kemurungan dan kebimbangan merupakan masalah utama kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Ahli Psikologi Klinikal, Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, R. Tuneesha berkata, kemurungan merupakan gangguan emosi yang menyebabkan seseorang berasa sedih berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian.

Katanya, keadaan tersebut akan berlarutan sekurang-kurangnya sehingga dua minggu dan boleh ‘menyerang’ sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina serta bangsa.

“Apabila pelajar mengalami masalah kemurungan dan kebimbangan, mereka biasanya akan kurang mahir berkomunikasi.

“Bukan itu sahaja, mereka juga akan membuat tindakan-tindakan tidak wajar, selain menghadapi masalah motivasi yang boleh merendahkan gred pencapaian dalam akademik,” ujarnya ditemui pada seminar Fahami Cabaran Psikologi Kanak-kanak dan Remaja di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai hal tersebut, Tuneesha berkata, masalah kemurungan dan kebimbangan yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak suatu ketika dahulu dilihat sebagai satu isu sensitif dan kontroversi.

Ini kerana, sebelum ini banyak pakar menafikan wujudnya masalah kemurungan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Tuneesha menjelaskan, simptom kemurungan lebih sukar untuk dikenal pasti dan kanak-kanak ini sering disalah anggap sebagai ‘buat perangai’ semata-mata.

Yang pasti dalam tempoh dua hingga lima minggu atau lebih wujud simptom-simptom seperti tertekan, hilang minat, tidak ceria, penurunan atau kenaikan berat badan secara mendadak, imsomnia atau hipersomnia.

Selain itu, individu yang dilanda gejala kemurungan juga akan mengalami kegelisahan atau kerencatan psikomotor, hilang daya tumpuan, keletihan, kehilangan tenaga, berasakan diri tidak berguna, rasa bersalah, dan sehingga ke peringkat mahu membunuh diri.

“Daripada senarai simptom di atas, sekurang-kurangnya satu simptom sama ada mengalami tekanan atau hilang minat keseronokan akan dialami kanak-kanak yang mengalami masalah kemurungan.

“Apabila anak-anak anda mengalami simptom-simptom ini, secara tidak langsung akan menyebabkan kesukaran serta kemerosotan dalam kegiatan harian, sosial, akademik, dan sebagainya.

“Untuk itu, ibu bapa dinasihatkan agar mengambil berat keadaan anak masing-masing kerana sesetengah masalah kemurungan berakhir dengan kematian apabila pesakit mengambil keputusan membunuh diri,” katanya.

Bagi kanak-kanak, mereka ini akan menunjukkan tanda kemurungan atau simptom yang berbeza daripada golongan dewasa.

Tuneesha menyatakan, kanak-kanak akan memperlihat tanda-tanda melalui salah satu cara sama ada melalui tingkah laku luaran atau tingkah laku dalaman.

Bagi tingkah laku luaran, mereka akan memberontak, marah, nakal, dan mengingkari peraturan serta arahan.

Bagi tingkah laku dalaman pula, Tuneesha berkata, kanak-kanak ini akan menjadi lebih senyap, menyendiri, menjauhkan diri daripada keluarga dan masyarakat, serta prestasi pelajaran terganggu.

Ibu bapa dan guru seharusnya menyedari perubahan tingkah laku tersebut agar tanda-tanda awal kemurungan dapat dikesan.

Ini kerana masalah kemurungan tidak boleh dipulihkan sepenuhnya, sebaliknya boleh dikawal melalui pengambilan ubat-ubatan, jalani rawatan psikoterapi atau kedua-duanya sekali.

Harus diingatkan, kemurungan merupakan masalah seumur hidup yang akan ditanggung penghidapnya dan berkemungkinan membawa kepada masalah mental yang lain seperti skizofrenia (gangguan mental kronik).

FAKTOR-FAKTOR KEMURUNGAN DALAM KALANGAN KANAK-KANAK DAN PELAJAR

Buli (trauma, menyendiri)

Rakan-rakan (tekanan rakan sebaya)

Saluran (tiada saluran untuk berkongsi/meluahkan perasaan dan masalah)

Hormon (perubahan hormon (remaja)

Terlalu banyak beban kerja (kerja sekolah, persediaan untuk ujian, peperiksaan, tuisyen, kelas tambahan, aktiviti kokurikulum, kelas-kelas lain)

Ibu bapa dan guru-guru (tekanan daripada ibu bapa dan guru untuk menjadi seorang yang cemerlang dalam semua aspek)

Hukuman/denda (hukuman atau denda daripada ibu bapa dan guru)

Sumber: Utusan Online