Usahawan Di Kedah Sentiasa Diberi Perhatian, Dibantu - Suraya


ALOR SETAR - Rakyat negeri Kedah yang berkecimpung di dalam bidang usahawan secara kecil-kecilan sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri dalam membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) sejak 2015 yang bertujuan memberi fokus untuk membantu usahawan mendapatkan pinjaman dan peluang promosi serta pemasaran.

UPUK yang ditubuhkan sebagai memenuhi janji Manifesto Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk melaksanakan skim mikrokredit kepada para usahawan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan, Pertanian dan Asas Tani itu berkata, daripada peruntukkan yang diberikan itu, seramai 441 usahawan sudah memanfaatkannya dengan nilai pinjaman sebanyak RM3 juta.

Kata beliau, 441 usahawan yang dibantu UPUK itu adalah sebahagian daripada lebih 50,000 peniaga di Kedah yang memperoleh bantuan serta insentif membabitkan pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

"Di UPUK kita menyediakan pinjaman bermula dari RM1,000 hingga RM50,000 kepada mereka yang berusia antara 18 hingga 60 tahun tanpa mengenakan faedah bayaran untuk mereka memulakan atau mengembangkan perniagaan termasuk penjaja pasar malam dan peruncit.

"Bukan sekadar memberi pinjaman, UPUK juga turut memberikan khidmat nasihat perniagaan, aktiviti keusahawanan, pembangunan kemahiran dan akses pasaran," katanya baru-baru ini.

Selain itu, Suraya menjelaskan bahawa UPUK juga berperanan sebagai pusat penyelarasan yang menjadi rujukan utama berkaitan pembangunan usahawan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang itu berkata, peranan itu telah memudahkan agensi-agensi dan pebagai jabatan kerajaan untuk mendapatkan penyertaan usahawan dalam program kelolaan mereka.

Sementara itu katanya, usahawan yang mendapatkan khidmat di UPUK juga turut dibawa membuat lawatan ke program berkaitan keusahawanan di dalam dan luar negara bagi mendedahkan mereka kepada akses pasaran.

"Kita pernah membawa usahawan ke Jepun dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Obohiro Chamber of Commerce & Industri di Obihiro, Hokaido dalam pameran Tokachi Marche.

"Hasilnya, terdapat dua syarikat dari Kedah berjaya memperoleh kontrak membekalkan produk kepada syarikat di Obihiro membabitkan produk makanan dan kecantikan, " katanya.

Tidak hanya bergerak melalui UPUK, Suraya berkata, Kerajaan Negeri banyak menyediakan saluran kepada golongan usahawan ini untuk mengembangkan perniagaan termasuk juga melalui penganjuran program Kedah Halal Fest.

Exco Kerajaan Negeri itu berkata, sepanjang dua tahun penganjurannya, lebih 200 usahawan berjaya mendapatkan akses pasaran termasuk dari China dan Nigeria setelah Kerajaan Negeri membawa wakil dari luar negara menyertai program terbabit. 

"Kedah juga akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran program Satu Daerah Satu Industri oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang akan diadakan pada  23 hingga 27 November ini.

"Banyak lagi kita sudah dan akan lakukan demi untuk membantu usahawan Kedah supaya berupaya melangkah ke tahap tertinggi dalam bidang perniagaan," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras UPUK, Roslan Mohamed berkata, pihak Kerajaan Negeri kini berhasrat mewujudkan Kedah Food Valley (KFV) khusus dalam meningkatkan tahap industri makanan ke peringkat lebih tinggi.

Kata Roslan, tiga tunggak utama program ini ialah untuk membangunkan sektor pertanian, perikanan dan penternakan menjadi industri berdaya maju; meningkatkan nilai tambah bahan kepada produk berkualiti serta mewujudkan permintaan pengguna melalui aktiviti promosi.

"Sehingga kini kita sedang berusaha untuk merealisasikan KFV dengan memohon dana daripada kerajaan persekutuan dan apabila ia menjadi kenyataan kelak, produk dihasilkan akan mempunyai jenama KFV," katanya.


Bagi usahawan yang berminat untuk menyertai program-program yang disediakan Kerajaan Negeri ini, mereka bolehlah mendapatkan keterangan lanjut dari UPUK yang terletak di tingkat 3, Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini. - Kedahnews.com

INFO tambahan

Bantuan diberikan kerajaan negeri kepada usahawan:
  • UPUK sebanyak RM3 juta kepada 441 peminjam. 
  • Program Dana Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) sebanyak RM11.2 juta kepada 756 usahawan. 
  • Sebanyak RM1 juta diagihkan kepada seluruh PBT bagi memperbanyakkan kemudahan prasaranan kepada peniaga. 
  • Kerajaan negeri melupuskan bayaran lesen penjaja dan penjaja kecil.
  • Peruntukan sebanyak RM10,000 setiap daerah untuk melaksanakan program keusahawanan. 
  • Sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk membangunkan pusat Pemprosesan dan Pembungkusan Industri Makanan. 
  • Peruntukkan sebanyak RM30 juta bagi membangunkan 42 lot kilang di Taman Industri Halal. 
  • Penganjuran Kedah Halal Fest 
  • Pembabitan Kedah dalam MIHAS, SDSI, Malaysia Fest (Singapura), Halal Festival Kebangsaan.