AUSTIN - Raja pecut yang baru bersara, Usain Bolt (gambar) bertekad untuk meneruskan impiannya bermain bola sepak profesional tetapi mengaku dia tidak ‘malu’ sekiranya sasaran itu gagal menjadi realiti.
Bintang pecut Jamaica itu, yang bersara daripada dunia olahraga Ogos lalu, sudah lama bercakap mengenai keinginan mencuba nasib dalam bola sepak dan sudah dijemput untuk menjalani latihan bersama Borussia Dortmund.
Pemegang rekod dunia 100m dan 200m serta pemenang lapan emas Sukan Olimpik itu, menegaskan masih serius mengejar impiannya itu walaupun wujud keraguan yang pada usia 31, masa makin suntuk buatnya.
“Ia adalah sasaran peribadi, saya tidak kisah apa orang fikir mengenainya,” kata Bolt kepada pemberita di saingan Formula Satu (F1) Grand Prix Amerika Syarikat, semalam.
“Saya tidak akan menipu diri sendiri, jika saya fikir saya tidak mampu, saya akan bercakap ‘lupakan ini’. Saya tidak akan malukan diri sendiri.
“Ia adalah impian, ia adalah satu perkara baru yang saya mahu lakukan. Jika anda mempunyai impian atau apa saja yang ingin dilakukan, sudah pasti anda mahu melihat sejauh mana anda mampu lakukannya.”
Bolt sudah lama dijemput menyertai latihan bersama Dortmund, jemputan yang diatur khas oleh penajanya, Puma.
Bagaimanapun, Bolt enggan mengambil kesempatan dengan tawaran dibuat gergasi Bundesliga itu kerana masih dipalit kecederaan hamstring.
Pelari pecut Jamaica itu bagaimanapun tidak begitu optimis bahawa kelab kegemarannya MANCHESTER UNITED akan memberi peluang sama.
“Ia amat sukar untuk meyakinkan (Jose) Mourinho, tetapi kita tidak tahu, lagipun perkara ini hanya saya bincangkan bersama Alex Ferguson ketika saya ke sana dulu,” katanya dalam nada jenaka.-AFP