BEIJING – Lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika berjalan di tepi jalan di bandar Yeuyang, Wilayah Hunan, minggu lalu.
Memetik laporan China Digital Times, hanya seorang kanak-kanak berusia dua tahun terselamat dalam kejadian ngeri kira-kira jam 11 pagi itu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada mulanya menunjukkan pasangan suami isteri itu berjalan bersama empat anak kecil mereka di bahu jalan sebelah kanan.
Pasangan itu masing-masing memimpin tangan keempat-empat anak mereka di kiri dan kanan seperti biasa ke destinasi mereka.
Namun secara tiba-tiba sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu dengan laju merempuh keluarga itu dari arah belakang dengan kuat.
Menyebabkan kesemua mangsa tercampak, manakala si bapa diseret lebih kurang 100 meter sebelum berhenti.
Kelima-lima mangsa difahamkan maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Dalam rakaman, anak kecil yang terselamat itu segera berdiri dan menangis dalam kesakitan apabila mendapati keluarganya sudah mati dirempuh kenderaan tersebut.
Orang ramai yang berada di kawasan berhampiran segera bertindak menahan pemandu kereta pacuan empat tersebut kerana bimbang lelaki itu melarikan diri.
Kejadian dikatakan berpunca dari tindakan pemandu kenderaan itu yang bermain dengan telefon bimbitnya sehingga menyebabkan dia tidak menyedari pemanduannya tersasar lalu merempuh keluarga berkenaan.
Difahamkan, pemandu tidak beranggungjawab itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu netizen mengecam tindakan pemandu terbabit dengan meminta pihak berkuasa di negara itu mengenakan hukuman yang berat terhadap pemandu itu agar dijadikan pengajaran kepada pengguna jalan raya yang lain. – Kedahnews.com