Wan Karpet Nak Gegar Lagi!


KOWLOON, HONG KONG- Penjaring tunggal skuad Harimau Malaya ketika seri 1-1 berdepan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka, 5 September lalu, Syazwan Zainon bertekad untuk sekali lagi menggegar gawang lawan dengan kali ini mahu meledak di hadapan penyokong tuan rumah di Stadium Hong Kong.

Dia yang beraksi cemerlang pada perlawanan itu, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-56 hasil tolakan mudah ke gawang lawan sekali gus memadamkan gol awal pelawat menerusi sentuhan Alessandro.

Menurut Syazwan atau lebih mesra disapa Wan Karpet itu, sekiranya dia diturunkan dalam aksi ketiga Kumpulan B Kelayakan Kejohanan AFC 2019 nanti, dia mahu membalasnya semula dengan membantu kemenangan pasukan.

“Saya gembira kerana berjaya menjaringkan gol ketika berdepan Hong Kong tempoh hari dan saya menghargai kepercayaan yang diberikan jurulatih (Nelo Vingada) untuk beraksi dalam kesebelasan utama,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Pusat Sukan Tseung Kwan O, semalam.

“Untuk sekali lagi menjaringkan gol mungkin susah terutama apabila bermain di gelanggang lawan.

“Namun dalam bola sepak tiada apa yang mustahil dan jika ada rezeki saya mahu menjaringkan gol lagi.

“Bukan untuk diri sendiri tetapi untuk memastikan kemenangan buat pasukan negara,” kata tonggak lincah Kedah yang berusia 27 tahun itu.

Ujarnya lagi, semangat rakan sepasukan menjelang aksi getir itu berada di tahap terbaik dengan masing-masing bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Sejak sampai di sini (Hong Kong) pada Khamis lalu, jurulatih memberi tumpuan kepada aspek kecergasan. Rata-rata pemain amat bersemangat dan suasana positif ini baik untuk kami,” katanya.

Sumber: MyMetro