SEREMBAN - Gara-gara masalah rumah tangga, seorang wanita berusia 36 tahun mengugut mahu menikam dirinya di Flat Taman Semarak, Nilai, di sini kira-kira pukul 11 malam tadi.
Bagaimanapun seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai yang tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan berhubung insiden itu, berjaya menghalang niat wanita terbabit.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Khairullizal Abu Kasim berkata, wanita itu dipercayai mengalami masalah dengan suaminya dan tinggal di rumah itu bersama dua rakannya.
“Dia mengurung diri di dalam sebuah bilik dan enggan membuka pintu apabila diminta berbuat demikian oleh anggota bomba.
“Dia mengugut mahu menikam perutnya dengan menggunakan pisau pemotong sayur jika pihak bomba memecah masuk ke dalam bilik itu,” katanya di sini hari ini.
Khairullizal berkata, anggota bomba mengambil masa selama 30 minit untuk memujuk wanita itu dengan bantuan rakan-rakan serumahnya.
“Wanita terbabit kemudian membuka pintu bilik dan berada dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya.
Sumber: Utusan Online