Kuala Lumpur - Seorang wanita ‘panas hati’ selepas mendapati tayar keretanya dikapit petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedangkan kereta mewah berhampiran tidak diambil tindakan sama.
Perkongsian wanita itu melalui laman sosial Twitternya menjadi tular sejak semalam dan menimbul tanda tanya ramai netizen.
“Kereta saya dikunci kerana meletakkan kenderaan di kawasan dilarang. Baiklah, saya terima. Tetapi kenapa kereta VIP ini yang juga meletakkan kenderaan di kawasan yang dilarang tidak dikunci seperti mana saya kena sedangkan dia berada di situ terlebih dahulu berbanding saya,” katanya.
Wanita itu turut berkongsi beberapa gambar sebagai bukti ketika memuat naik status berkenaan di akaun Twitter miliknya.
Dia turut mempersoalkan adakah lambang polis terdapat pada plat kereta berkenaan menyebabkan DBKL tidak mengambil tindakan.
Menurut wanita itu lagi, ketika kejadian beberapa penguat kuasa muncul semula membuat rondaan kali kedua dan kenderaan ‘VIP’ itu masih tidak dikapit tayarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penguatkuasaan DBKL Nasarudin Daharun berkata, dakwaan wanita terbabit berhubung diskriminasi yang diterima itu akan disiasat.
Menurutnya, pihak DBKL akan menyiasat sama ada kenderaan itu dikunci bahagian trafik jabatan berkenaan atau sebaliknya.
“Kami akan siasat ia dikunci bahagian trafik atau petugas yang dipinjamkan kepada operator pengendali parkir di bawah Yayasan Wilayah,” katanya
Sumber: Metro