SHAH ALAM - Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dengan kesan jerutan di leher, dipercayai dibunuh dalam sebuah bilik di Jalan Kem, Pelabuhan Klang petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata mangsa berusia 43 tahun itu dipercayai pekerja sebuah kilang di kawasan berhampiran.
‘’Pemeriksaan awal menunjukkan terdapat kesan jerut di leher mangsa menggunakan tali kasut… si mati juga masih memakai gelang emas di tangan kanan dan sepasang subang emas,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau juga berkata polis tidak menemui sebarang kesan pergelutan selain keadaan bilik mangsa tidak berselerak.
Susulan kejadian, polis menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 29 tahun, dipercayai teman lelaki mangsa bagi membantu siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: FMT