Wanita Mengaku Tak Bersalah Bunuh Jong-Nam


SHAH ALAM - Dua wanita warga asing mengaku tidak bersalah membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Februari lalu.

Warga Indonesia, Siti Aisyah, 25 dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin.

Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad, berkata pihak pendakwaan akan membuktikan pembabitan wanita terbabit dalam kes pembunuhan berkenaan.

Beliau berkata, bukti jelas menunjukkan perbuatan Siti Aisyah dan Doan Thi Huong menyapu cecair beracun VX ke muka mangsa hingga menyebabkan kematiannya.

"Melalui keterangan langsung, pendakwaan akan membuktikan Siti Aisyah dan Doan Thi Huong dengan latihan 'prank' yang diselia oleh empat orang yang masih bebas, berniat untuk membunuh Jong-nam," katanya.

Pada 28 Julai lalu, Azmi menetapkan perbicaraan akan berlangsung selama 23 hari bermula hari ini. 

Dalam prosiding itu, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Pada 1 Mac lalu, kedua-dua tertuduh bersama empat individu lain yang masih bebas didakwa membunuh Jong-nam di klia2, Sepang, pada jam 9 pagi 13 Februari lalu. 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sumber: BH Online