SI suami bukanlah lelaki yang jahat, malah dari segi zahirnya dia cukup bertanggungjawab. Selain menyediakan keperluan rumah tangga mencukupi, dia juga berkerjaya dan bercita-cita tinggi.
Sememangnya dari segi zahir rumah tangga yang dibina nampak utuh dan sepatutnya bahagia. Namun, di sebalik harta dan pandangan zahir orang ramai, terdapat kekurangan ketara; kemesraan jelas dipaparkan di hadapan orang ramai tidak pula diterjemahkan dalam ikatan kamar rahsia antara si suami dan si isteri.
Kusut jadinya si isteri akan perkara ini, sukar untuk dia berkongsi kekurangan ini dengan orang lain kerana dari segi luarannya tidak nampak cacat cela. Kalau si isteri mengomel atau mengadu luahan hatinya nampak pula seperti dia tidak reti bersyukur kerana mendapat suami baik, takkanlah perkara remeh seperti kurang mesra dan manja pun hendak diperbesarkan.
Puas si isteri membelek telefon si suami, mengikuti gerak langkahnya, mengesyaki ada wanita menjadi kekasih gelapnya, pasti dia mendapat kasih di luar kerana kemesraan cinta itu hambar di dalam mahligai perkahwinan yang dibina bersama. Namun, usaha si isteri sia-sia, carilah sampai ke lubang cacing sekali pun tidak wujud sama sekali wanita ketiga itu. Kekusutan tidak terjawab, permasalahan tidak terjumpa puncanya hinggalah pada suatu hari segalanya terungkai kerana orang ketiga itu bukanlah bunga liar yang dipetik di luar taman kasih, tetapi rupa-rupanya kumbang rambang yang datang menghinggap.
Ini bukan petikan novel fiksyen yang bakal diterbitkan sebagai siri drama mingguan, walau kelakar bunyinya, sebenarnya perkara ini banyak berlaku pada zaman ini yang mana isteri mendapati suami berlaku curang bukan dengan perempuan lain, tetapi mempunyai selera yang berbeza.
Pergaulan sosial main peranan
Isu ini sebenarnya agak rumit memandangkan dalam masyarakat kita ia tabu atau pantang untuk suami atau isteri memperkatakan dan meminta nasihat tentang perkara berkaitan hal kelamin. Walaupun kita segan dan malu mengakuinya, sebenarnya ikatan batin dan hubungan kelamin itu sangat penting dalam memastikan kebahagiaan rumah tangga itu. Sekiranya wujud cacat cela dalam perkara ini pasti ia akan beri kesan yang ketara kepada keutuhan rumah tangga.
Maka timbul pula persoalan kalau benar si lelaki itu tidak meminati golongan hawa, mengapa pula mahu berkahwin dan mendirikan rumah tangga? Adakah kerana lelaki ini lelaki dua alam yang mana bunga pun boleh kumbang pun 'jalan'? Sesungguhnya sebab dan niat itu akhirnya terletak pada si empunya badan sendiri tetapi kita boleh buat beberapa andaian mengapa berlakunya trend lelaki berselera luar tabii ini mahu mendirikan rumah tangga bersama wanita.
Sebagai contoh, untuk menjadi calon presiden Amerika Syarikat, selain mempunyai imej berkarisma dan pembawaan politik popular, peranan isteri dalam pembawaan imej wanita pertama itu juga sangat penting.
Kita dapat lihat bagaimana Michelle Obama memainkan peranan cukup berkesan membawa mesej suaminya ketika kempen pilihan raya. Begitu juga dengan Carla Bruni kepada Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy suatu ketika dahulu. Perkara ini juga sama di negara kita yang mana selain usaha, bakat dan kebolehan, pergaulan sosial juga mainkan peranan penting dalam mendaki tangga kerjaya dan status sosial.
Mereka yang berkeluarga dan mempunyai pasangan dilihat serasi akan membantu bawa imej kestabilan, kebolehpercayaan dan kepemimpinan yang jelas kepada si lelaki seterusnya membantunya mendaki tangga kerjaya.
Maka ini mungkin menjadi satu sebab utama mengapa lelaki golongan ini berumah tangga. Zuriat juga dilihat mempengaruhi keputusan mereka berkahwin, sesungguhnya walau seleranya berlainan, jati diri lelaki itu masih ada dalam diri iaitu kemahuan untuk mempunyai darah daging dan keturunannya sendiri.
Kemahuan ini bukan sekadar datang dari ibunya yang berleter mahukan cucu tetapi juga datang daripada naluri semula jadi seseorang lelaki yang mahukan zuriat sendiri. Sebab itu ada beberapa kes yang kita lihat perceraian berlaku selepas pasangan sudah mempunyai anak.
Namun, perlu saya ingatkan sekali lagi bahawa kesimpulan ini tidak dibuat berdasarkan kajian saintifik, sekadar pemerhatian dan pandangan peribadi saya hasil pertemuan dengan mereka yang pernah alami perkara ini.
Saya bukan hendak menyemai perasaan kebencian atau mengajak sesiapa mencerca mana-mana golongan, walaupun dari segi Islam perkara ini amat ditegah.
Tetapi, tujuan saya mengetengahkan isu ini ialah kerana akhirnya mangsa tindakan dan tingkah laku lelaki seperti ini adalah wanita. Wanita ditipu, dipergunakan dan diperdaya dengan janji manis untuk membina mahligai perkahwinan yang bahagia tetapi sebenarnya hanya digunakan sebagai alat membentuk imej di kalangan masyarakat atau kilang untuk melahirkan zuriat.
Institusi keluarga rosak bila wanita sekadar hiasan
Tak kisahlah lelaki itu sejati atau bernafsu luar tabii, tindakan mereka tidak ada bezanya dengan lelaki buaya durjana yang merosakkan kaum wanita. Apa yang dibuat dalam kamar peribadi akhirnya adalah antara si individu berkenaan dan tuhan, tindakan dan dosa itu ditanggung empunya badan sendiri dan saya tidak mahu mudah jatuhkan hukuman.
Tetapi, janganlah kerana tingkah laku peribadi yang sumbang satu-satu lelaki itu dibabitkan pula wanita yang tidak bersalah. Gejala ini merosakkan institusi kekeluargaan apabila wanita dianggap dan digunakan sekadar hiasan luaran sahaja.
Belum lagi kita menyentuh perkara rumit membabitkan anak-anak dan perceraian. Sesungguhnya jodoh itu ada yang kekal dan ada yang tidak. Kita fahami dan akui akan perkara ini. Kedua-dua pasangan saya yakin mempunyai hasrat membina keluarga bahagian namun janganlah dari awal-awal lagi ditanam niat yang salah dalam mendirikan rumah tangga.
Biarlah ia dibina atas rasa cinta dan kasih sayang dan bukan untuk mempergunakan wanita itu sebagai alat perhiasan untuk melindungi kelemahan seseorang lelaki. Sesungguhnya cinta itu ada pertaruhannya sendiri namun wajar untuk wanita berhati-hati agar tidak tersilap langkah dan terjebak dengan lelaki bergelar suami tetapi sebenarnya....
Penulis adalah Bekas Personaliti TV
Sumber: BH Online