YGMB Serah Bantuan Kepada Keluarga Pelajar Tahfiz


KOTA BHARU - Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) hadir ke rumah ibu Allahyarham Mohamad Daniel Md. Amin yang meninggal dunia dalam tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Taman Datuk Keramat, Kuala Lumpur untuk memberikan sumbangan.

Sumbangan tersebut diserahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat di rumah ibu mangsa, Surianty Mohamed, 39, di Kampung Bunut Payung di sini hari ini.

Wan Munadi berkata, penyerahan sumbangan tersebut merupakan susulan penyerahan sumbangan pada 20 September lalu oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada waris mangsa.

“Namun, pada majlis itu hanya 19 waris daripada keseluruhan 23 orang waris pelajar tahfiz yang hadir. Jadi kita serahkan sendiri dalam kunjungan ke rumah ibu Allahyarham Mohamad Daniel.

“Walaupun institusi tahfiz ini bukan bawah kementerian tetapi atas keperihatinan kita tampil serahkan sumbangan agar membantu serba sedikit keluarga ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 14 September lalu, selain Mohamad Daniel seramai 22 lagi penghuni termasuk dua guru tahfiz tersebut mati dalam kejadian kebakaran berpunca daripada perbuatan khianat.

Sumber: Kosmo