Yusof Haslam Alami Keracunan Makanan


Penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam, 63, telah dimasukkan ke Hospital Tawakal, Kuala Lumpur akibat muntah-muntah sejak kelmarin.

Memetik laporan BH online, pemilik produksi Skop Production Sdn Bhd itu disyaki mengalami keracunan makanan.

Isterinya, Datin Patimah Ismail memaklumkan kepada media keadaan Yusof kini semakin baik dan stabil.

"Ketika kejadian pagi semalam, dia sudah pun berada di pejabat. Selepas mendapat panggilan daripada pekerjanya, saya terus ke hospital dan waktu itu, dia memang dalam keadaan lemah," katanya.

Pengurus Pengedaran dan Promosi, Skop Production Sdn Bhd, Rosman Ibrahim, pula memberitahu, Yusof baru saja hendak memulakan perbincangan dengan pelakon yang juga penerbit, Datuk Rosyam Nor apabila mula berasa tidak sihat.

"Dia tiba-tiba bangun dan terus meluru ke tandas serta muntah. Saya segera mengikutnya ke tandas dan ketika itu, keadaannya sudah lemah sambil tersandar di dinding.

"Saya mengurut belakangnya kerana pada mulanya saya berasakan ia hanya berpunca daripada angin dalam badan.

"Dia juga pada awalnya hanya mahu berehat di pejabat, tetapi melihat keadaan agak serius, saya terus membawanya ke hospital," katanya.

Laporan menyebut, penerbit filem Abang Long Fadil 2 itu akan dibenarkan pulang pada petang ini.

Sumber: MalaysianDigest