Zahid Hamidi Sifatkan Dr Maznah Satu Kehilangan Besar Buat UMNO


ALOR SETAR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Datuk Maznah Hamid sebagai satu kehilangan besar buat UMNO, terutama sekali buat Pergerakan Wanita UMNO.

Menurutnya lagi, Allahyarham adalah merupakan seorang  Exco Wanita UMNO banyak memberi sumbangan bukan saja di Kedah, malah di peringkat nasional.

"Kita merasakan beliau adalah pakar motivasi yang hebat dan banyak memberi semangat kepada anak muda dan usahawan.

"Saya mengenali beliau ketika saya bekerja di Permodalan Nasional Berhad. Ketika itu beliau seorang pakar motivasi dan saya amat mengagumi beliau," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarah jenazah Allahyarham kediamannya di Ampang.

Allahyarham sebelum ini yang mendapat gelaran "Iron Lady" menghembuskan nafas terakhir pada jam 6 petang semalam di Institut Jantung Negara (IJN) akibat komplikasi jantung susulan pembedahan jantung pada 28 September lalu.

Difahamkan bahawa Allahyarham yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd telah menjalani pembedahan jantung selepas dua saluran pada injap jantung tersumbat.

Antara yang turut kelihatan menziarah jenazah Allahyarham ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. - Kedahnews.com