KUALA LUMPUR- Sama ada adik gelecek abang atau abang terjah adik, itu semua bakal disajikan dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh malam ini.
Pertembungan kembar paling popular dalam bola sepak tanah air, Mohd. Zaquan Abdul Radzak (Perak) dan abangnya, Aidil Zafuan, tonggak pertahanan JDT antara yang paling mencuri tumpuan penyokong kedua-dua pasukan.
Ini kali pertama pasangan itu berentap sesama sendiri di pentas besar, biarpun mereka pernah ditemukan dalam dua perlawanan Liga Super.
“Dalam bola sepak kita perlu bersikap profesional. Meskipun kami kembar, namun di atas padang Zafuan adalah lawan saya dan itu sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan kami.
“Walaupun kami adik-beradik, itu tidak bermakna dia tidak boleh mengasari saya dan sebaliknya dalam perlawanan esok. Kami perlu menjalankan tugas masing-masing, yang mana dia bermain untuk JDT dan saya beraksi untuk Perak,” katanya kepada Mingguan Utusan di sini semalam.
Bercakap mengenai kelemahan dan kekuatan masing-masing, Zaquan yang bakal mengetuai jentera serangan Bos Gaurus berkata, dia mengakui abangnya sudah masak dengan kekurangannya di atas padang namun pemain berusia 30 tahun itu mempunyai strategi tersendiri.
“Satu perkara yang kami tidak boleh lari kerana sudah bermain bola sepak bersama sejak kecil lagi.... dia tahu kekurangan dan kelebihan saya, tetapi saya juga begitu.
“Mungkin dia boleh memberitahu kepada rakan-rakannya di JDT apa kelemahan saya namun tidak mengapa sebab saya sudah ada perancangan. Menjelang pertemuan esok, dia tiada menghubungi saya untuk mengetahui kekuatan Perak dan begitu juga dengan saya. Masing-masing buat hal sendiri,” katanya lagi.
Sementara itu, Mehmet Durakovic mengesahkan lima pemainnya tidak dapat diturunkan malam esok kerana masalah kecederaan dan terikat dengan perjanjian. Lima pemain yang disahkan tidak dapat diturunkan esok adalah Hafiz Kamal, Leandro Dos Santos, Yashir Pinto, Jasazrin Jamaluddin dan Nazrin Nawi.
“Pinto pulang ke Chile untuk menjalani pembedahan kaki kerana cedera tendon Achilles dan Hafiz turut menjalani pembedahan akibat kecederaan MCL (ligamen kolateral medial/tengah) dan Leandro juga tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.
“Jasazarin dan Nazrin tidak dapat diturunkan kerana mereka berdua adalah bekas pemain JDT dan kami sudah bersetuju kepada perjanjian yang dibuat sebelum ini,” katanya.
Sumber: Utusan Online