KLANG – Pemilik syarikat perancang perkahwinan, Zurin Jundi didakwa atas tuduhan memperdaya seorang ibu bakal pengantin sehingga membayar wang pendahuluan pakej perkahwinan berjumlah RM7,000 pada Mac dan Jun lalu di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Tertuduh, Zurina Ahmad Jundi, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.
Mengikut pertuduhan pertama, Zurina didakwa telah memperdayakan Zainon Ali, 54, dalam penawaran pakej perkahwinan sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang sejumlah RM5,000 melalui mesin pengeluaran wang automatik Bank CIMB ke akaun tertuduh sebagai wang pendahuluan untuk pakej perkahwinan.
Tertuduh turut didakwa memperdayakan Zainon buat kali kedua sehingga menyerahkan wang sejumlah RM2,000 secara tunai sebagai bayaran pendahuluan untuk pakej yang sama di alamat Pusat Komersial Seksyen 7, Shah Alam pada 17 Jun lalu.
Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.
Sumber: Kosmo