100 Kelapa Untuk Kenduri Kahwin Lesap Dihanyut Banjir Di Kubang Pasu


KUBANG PASU - Seorang wanita sayu mendapati longgokan 100 biji kelapa yang baharu dibeli untuk persiapan kenduri kahwin anak lelakinya bulan depan, hilang dihanyutkan air ketika kediamannya di Kampung Teluk, dekat Changlun, di sini, dilanda banjir kilat malam tadi.

Zabedah Md Rejab, 49, adalah antara 210 mangsa membabitkan 53 keluarga yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda lapan kampung di sekitar Changlun di sini sejak malam tadi.

Lapan kampung terbabit ialah Kampung Belukar, Kampung Nang Mah, Kampung Baru, Kampung Kubang Betong, Kampung Wang Perah, Kampung Changkat Setoi, Kampung Kubang Kayu dan Kampung Paya Nongmi, di sini

.Zabedah ketika ditemui mengakui persiapan awal dilakukan untuk majlis kenduri kahwin anaknya, Mohd Naim Azhar, 29, yang dijadual berlangsung pada 14 Disember depan, musnah.

"Air mula memasuki rumah kira-kira jam 8 malam selepas hujan lebat kira-kira satu jam, menyebabkan saya dan keluarga tidak sempat mengangkat barangan di tingkat bawah.

"Apa yang menyedihkan kami sekeluarga juga sedang melakukan persiapan kecil-kecilan untuk majlis perkahwinan...saya dah beli 100 biji kelapa untuk dibuat kerisik bagi persiapan kenduri anak kedua saya itu, tetapi semua kelapa yang dilonggok di hadapan rumah itu dihanyutkan air malam tadi.

"Selain itu segala barangan perabut dalam rumah termasuk tilam habis basah akibat terendam air banjir, yang hanya surut sepenuhnya awal pagi tadi," katanya.


Penduduk Kampung Kubang Betong, Fatimah Abdullah, 57, berkata ini kali kedua rumahnya ditenggelami air sehingga paras pinggang selepas kejadian pertama berlaku dua bulan lalu.

"Saya sedar air naik ketika bangun tidur untuk menunaikan solat Subuh pagi tadi, sebelum terdengar bunyi air deras masuk di ruang tamu rumah.

"Kami sekeluarga hanya duduk di tingkat atas, sebelum saya dan anak bongsu, Fatin Najihah Ramli, 14, dibawa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu ke pusat pemindahan," katanya.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa, berkata sehingga jam 3 petang ini, seramai 210 orang membabitkan 53 keluarga dari lapan kampung yang ditenggelami air antara paras 0.3 hingga 0.5 meter ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun.

"Sehingga kini kita sedang memantau keadaan terutama paras air sungai seperti di Sungai Laka dan Sungai Bata, di sini, yang berisiko melimpah sekiranya hujan melanda pada sebelah petang," katanya.

Sumber: BH Online