SUNGAI PETANI - Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) terus mendapat perhatian apabila membantu lebih 1000 murid yang terpilih di Kedah.
Kesemua yang terpilih ini dari daerah Kuala Muda, Yan, Kota Setar, Baling, Sik dan Pendang ini menerima sumbangan berbentuk beg dan kelengkapan sekolah.
Sumbangan tersebut adalah hasil kerjasama Petronas, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Pejabat Pendidikan Daerah.
Ketua Pegawai Eksekutif, Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn Bhd, Sarun Selamat berkata, program ini bertujuan mempromosikan pembangunan modal insan.
"Di samping itu, ia turut menyokong usaha kerajaan memupuk minat pelajar dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik seawal peringkat sekolah rendah.
"Program ini diharap mampu memberi impak positif dalam membentuk sahsiah diri para pelajar dalam memburu kecemerlangan akademik," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Memasuki tahun kedua penganjurannya, program ini berlangsung di Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau lebih dikenali sebagai STEM Fair.
STEM Fair adalah acara kemuncak aktiviti-aktiviti PSIP, iaitu satu inisiatif Pelaburan Sosial Korporate (CSI) Petronas.
Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Rozaini berkata, usaha menjayakan program yang berteraskan STEM ini adalah selaras dengan objektif Jabatan Pendidikan Negeri.
"Hasrat jabatan adalah untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya di masa hadapan yang semakin mencabar,” katanya dalam ucapan perasmian STEM Fair.
Antara aktiviti menarik STEM Fair termasuk pertunjukan sains, kuiz interaktif, persembahan projek sains dan matematik yang dikendalikan oleh Petrosains.
Seramai 215 pelajar daripada Sekolah Kebangsaan Ladang Havard dan Sekolah Kebangsaan Tok Pawang turut menyertai STEM Fair.
Selain itu, aktiviti lain di bawah PSIP termasuklah Bengkel Pembangunan Profesional Guru di Kuala Lumpur, yang memberi pendedahan pedagogi pendidikan STEM kepada guru terpilih.
Seramai 220 pelajar Tingkatan 5 daripada 18 buah sekolah turut mendapat tajaan daripada anak syarikat Petronas, iaitu Petronas Chemical Fertiliser Kedah Sdn Bhd untuk menyertai Bengkel SKOR ‘A+’ SPM tahun ini.
Sumber: Sinar Online