203 Anggota Bomba Bantu Mangsa Banjir Kedah


ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menggerakkan 203 anggotanya bagi membantu operasi banjir kilat di Kulim, Kuala Muda dan Gurun.

Pengarahnya Abdul Razak Muda berkata operasi banjir itu telah digerakkan sejak malam tadi selepas beberapa daerah dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat turun sejak awal pagi, semalam.

Katanya kesemua anggota dari tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu BBP Alor Setar, BBP Yan, BBP Guar Chempedak, BBP Sungai Petani, BBP Tikam Batu, BBP Kulim dan BBP Kulim Hi-Tech itu terlibat secara langsung dalam operasi berkenaan.

"Sebanyak 13 bot dan dua lori juga digunakan bagi membantu kelangsungan operasi banjir ini," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sementara itu, Abdul Razak berkata setakat ini JBPM Kedah belum menghantar bantuan anggota ke Pulau Pinang kerana sedang bertungkus lumus menjalankan operasi banjir di tiga daerah ini.

"Kita sedang menunggu arahan semasa daripada ibu pejabat dan bersedia untuk memberi bantuan kepada Pulau Pinang sekiranya keadaan di sana bertambah buruk," katanya.

Hingga  1 petang, seramai 1,025 mangsa daripada 316 keluarga yang terjejas telah ditempatkan di 24 pusat pemindahan. - Bernama