279 Pelajar Positif Dadah Di Kelantan


KOTA BHARU - Seramai 279 pelajar termasuk empat perempuan daripada sekolah menengah di negeri ini, didapati positif dadah menerusi ujian air kencing yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata statistik itu diperoleh daripada AADK menerusi program ujian air kencing bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Katanya, ujian dilakukan terhadap 4,148 pelajar daripada 164 sekolah menengah.

"Pelajar sekolah yang didapati positif dadah tidak dianggap penagih dadah kerana mereka di peringkat mencuba yang dikenal pasti disebabkan pengaruh rakan sebaya.

"Memandangkan bidang kuasa kerajaan negeri terhad bagi menangani isu dadah terutama membabitkan pil kuda di negeri ini, kita sedia kerjasama dengan semua pihak termasuk agensi keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan yang dikemukakan Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood, berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi menangani penyalahgunaan dadah, terutama pil kuda di negeri ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), berkata pelbagai program termasuk peringkat sekolah dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya bebas daripada gejala dadah.

"Kerajaan negeri juga menubuhkan pusat pemulihan Baitul Taubah di Pasir Puteh sejak 2008 dan sudah mengeluarkan seramai 1,000 anak bina (yang diberi pelbagai latihan dan kemahiran seperti pertukangan, penternakan, masakan)," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) yang mencadangkan supaya PAS dan UMNO bekerjasama mengadakan program kesedaran penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Sumber: Berita Harian