30 Minit Bantuan Banjir Sampai


TUMPAT - Lebih 1,000 anggota polis daripada pasukan khas sudah ditempatkan di seluruh negara yang boleh digerakkan dalam masa setengah jam, sebagai persediaan jika berlaku bencana banjir.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata pasukan khas itu akan digerakkan bila-bila masa yang diperlukan bersama-sama aset pengangkutan termasuk bot, lori dan helikopter.

Beliau berkata, dengan persediaan yang dilakukan pasukan itu, mereka akan bergerak pantas membantu mangsa banjir dengan agensi keselamatan yang lain.

"Pasukan ini akan diselaraskan dengan agensi penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sama-sama ditugaskan ketika operasi banjir nanti.

"Sepanjang musim banjir ini, pusat kawalan Malaysia akan dibuka selama 24 jam bagi melancarkan perjalanan menghantar bantuan dan perkembangan dari masa ke masa.

"Ketua Polis di setiap negeri akan menyelaraskan pasukan ini untuk bertugas bersama-sama agensi penyelamat lain," katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja di Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad, Komander Markas PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulkafli Sariaat dan Polis Diraja Thailand Sempadan Sungai Golok, Polis Kapten Abdul Hakem Che Moh.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, PPM Wilayah Timur Pengkalan Kubor berjaya merampas barang seludup bernilai RM8.7 juta sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.

"Rampasan itu membabitkan pelbagai barang kawalan dan di bawah Akta Kastam.

"Kita tegas dalam mengekang masalah penyeludupan terutama membabitkan senjata api dan dadah," katanya.

Sumber: BH Online