35 Pelajar UiTM Terima Pengiktirafan Google


KUALA LUMPUR - Pengiktirafan antarabangsa ‘Google Certified Partner Google Adwords’ yang diterima 35 pelajar dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka membuktikan mereka mempunyai daya saing memenuhi kehendak industri pekerjaan terutama dalam bidang Pemasaran Digital.

Pensyarah fakulti UiTM berkenaan, Mohd. Hilmi Bakar berkata, mereka yang terpilih merupakan pelajar jurusan Diploma Komunikasi Media Baharu dan Keusahawan Kandungan universiti berkenaan bagi menyertai Google Ignite Career Fair di ibu negara baru-baru ini.

“Program anjuran Google Malaysia itu bertujuan memberi penekanan kepada mereka yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang Pemasaran Digital. Selain itu, pengiktirafan profesional turut diberikan kepada para peserta yang berjaya menduduki peperiksaan Google Adwords secara dalam talian.

“Pembangunan kandungan laman web dan pemasaran digital merupakan antara kemahiran yang dibekalkan kepada para pelajar dan ia kemahiran yang sangat diperlukan industri pada masa ini. Penyertaan mereka dalam program itu adalah salah satu usaha pihak Google Malaysia dan universiti untuk memberi pendedahan dunia pekerjaan sebenar kepada para pelajar,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut Mohd. Hilmi, UiTM merupakan satu-satunya universiti awam negara yang menerima undangan ke program tersebut, selain beberapa universiti swasta lain.

“Program diploma ini merupakan program yang ditawar hanya di UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah. Melalui program ini, para pelajar didedahkan kepada kemahiran menghasilkan kandungan yang berkualiti untuk pelbagai media baharu seperti animasi 2D dan 3D, permainan digital, web dan media sosial,” katanya.

Katanya, sepanjang program itu, sesi temubual pantas disertai peserta dan individu profesional dalam bidang Pemasaran Digital.

“Empat orang pelajar UiTM turut memenangi anugerah khas yang melihat kepada padanan sempurna antara keperluan syarikat dan kemahiran peserta terlibat,” katanya. 

Sumber: Utusan Online