377 Sungai Cetek, Risiko Banjir Kilat


KUALA LUMPUR - Pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati 377 daripada lebih 4,000 jajaran sungai di negara ini semakin cetek, sekali gus mengundang risiko banjir kilat.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata punca utama masalah itu disebabkan kerakusan manusia meneroka kawasan untuk pelbagai tujuan seperti pertanian, pembalakan dan pembangunan.

Selain itu, katanya kepentingan mengekalkan kawasan rizab yang sepatutnya dijadikan zon tadahan air tidak diendahkan, sebaliknya ditarah untuk pembangunan.

"Apabila perladangan, pertanian dan kawasan pembinaan tidak mengambil kira zon tadahan air, mudah selut atau lumpur terus mengalir masuk ke dalam sungai.

"Kalau kita nak selamat semua sungai yang ketika ini menjadi cetek angkara kerakusan manusia, kerajaan perlu memperuntukkan belanja ratusan bilion ringgit untuk berbuat demikian," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Tiong King Sing (BN-Bintulu), di Dewan Rakyat, hari ini.

King Sing membangkitkan rungutan pelbagai pihak kebanyakan sungai di negara ini semakin cetek akibat mendapan lumpur daripada pelbagai kawasan pembangunan sehingga memerlukan kerajaan melaksanakan tindakan tuntas bagi merungkai masalah terbabit.

Wan Junaidi berkata, sekarang masyarakat cepat mengadili kerajaan apabila wujud konsesi yang diberikan hak untuk menuai pasir sungai di muara.

"Salah persepsi ini kerana mereka dibiarkan jual (ambil) pasir, namun sebagai pulangan kita tidak membayar perkhidmatan mendalamkan dasar sungai.

"Bagaimanapun, isi padu dan tempoh operasi menuai pasir tidak dilaksanakan secara membuta tuli, sebaliknya dikendalikan mengikut perjanjian tertentu," katanya.

Sumber: BH Online